PUTRAJAYA: Kementerian Pengangkutan (MOT) bersetuju had usia kereta bagi kegunaan Institut Memandu (IM) dilanjutkan kepada 10 tahun berbanding tujuh tahun sebelum ini.
Menterinya, Anthony Loke berkata, secara dasarnya, kementerian sudah bersetuju dengan perkara itu, namun perincian lanjut mengenainya akan diumumkan dua bulan lagi.
Beliau berkata, tempoh had usia kereta yang boleh diguna pakai oleh IM untuk tujuan latihan dan ujian ketika ini adalah antara lima hingga tujuh tahun.
“Pembelian kenderaan baharu cukup membebankan IM dan faktor pandemik Covid-19 juga menjejaskan perniagaan IM selama dua tahun. Justeru, adalah wajar tempoh had usia kenderaan IM dilanjutkan.
“Jika keputusan (tempoh had usia) ini tidak diambil, maka kenderaan IM yang masuk usia tahun ketujuh tidak boleh dipakai lagi dan ia tidak adil kerana ketika Covid-19, operasi IM tidak berjalan,” katanya selepas menyempurnakan Mesyuarat Agung Tahunan Ke-3, Persatuan Pengusaha Pusat Latihan Memandu Malaysia di sini hari ini.
Bagaimanapun, katanya, pihak IM juga perlu memastikan tahap keselamatan kenderaan masing-masing supaya selamat untuk digunakan.
Loke berkata, jika mereka tidak menjaga kenderaan mereka dengan baik, MOT tidak teragak-agak untuk membatalkan lesen IM mereka jika berlaku sebarang isu keselamatan kenderaan.
Menurutnya, sudah banyak IM digantung operasi atas pelbagai isu kerana tidak mematuhi peraturan dan undang-undang ditetapkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan MOT.
Pada masa sama, Loke berkata, pemeriksaan berkala untuk kenderaan di bawah IM juga dikecualikan untuk tahun pertama dan kedua, manakala pemeriksaan setahun sekali perlu dibuat bagi tahun seterusnya hingga tahun ke 10.
Menurutnya, selama ini, MOT tidak pernah mengabaikan suara pengusaha IM, malah peranan itu terus diperkasa menerusi platform Persatuan Pengusaha Pusat Latihan Memandu Malaysia.
“Saya akan memastikan agensi-agensi di bawah MOT sentiasa bersikap terbuka terhadap cadangan daripada pihak industri,” katanya. – UTUSAN