KEMAMAN: Seorang guru wanita dan suaminya maut, manakala dua anak mereka cedera dalam kemalangan jalan raya di Kilometer 267.1, Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) selepas Hentian Rawat dan Rehat Perasing, dekat sini, petang tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4 petang, Zahidah Hanisah Mohamad, 35, yang merupakan guru Sekolah Kebangsaan (SK) Tebing Tembah, Paka dan suaminya, Mohd. Ridzuan Mohd. Yaacob, 35, meninggal dunia di lokasi kejadian ekoran kecederaan di kepala dan beberapa anggota badan.
Sementara itu, dua anak mereka, Muhamad Uwais Wafiuddin, 8, dan Raudhatul Khayra, 3, pula mengalami cedera ringan.
Ketua Polis Daerah Kemaman Superintenden Hanyan Ramlan berkata, ketika kejadian, kesemua mangsa sedang dalam perjalanan pulang dari Kuantan ke rumah mereka di Kampung Sekati, Manir.
“Kejadian dipercayai berlaku apabila kereta jenis Proton Saga yang dipandu suami mangsa tiba-tiba hilang kawalan dan terbabas melanggar penghadang kiri jalan.
“Impak pelanggaran itu menyebabkan kereta dinaiki mereka terseret sejauh 33 meter ke kanan lebuh raya sebelum melanggar pembahagi jalan dan terbalik,” katanya di sini, hari ini.
Hanyan berkata, impak pelanggaran itu juga menyebabkan keempat-empat mangsa tercampak keluar dari kenderaan mereka.
“Anak mangsa yang tercedera dihantar ke Hospital Kemaman dan Hospital Universiti Islam Antarabangsa, Kuantan, Pahang untuk menerima rawatan.
“Mayat pasangan suami isteri itu dihantar ke Unit Forensik Hospital Kemaman untuk tindakan lanjut,” katanya.
Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN