Guru muzik mengaku tidak bersalah pandu secara berbahaya - Utusan Malaysia

Guru muzik mengaku tidak bersalah pandu secara berbahaya

OO Cheng Sing, 28, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Jenayah George Town, Pulau Pinang hari ini atas pertuduhan memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian seorang wanita. - Pic: IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

GEORGE TOWN : Seorang guru muzik sambilan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian seorang wanita pada 8 Mei lalu.

Tertuduh, Oo Cheng Sing, 28, yang hadir memakai baju kemeja biru dan seluar hitam membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nur Melati Diana Abdul Wahab di Mahkamah Majistret Jenayah.

Mengikut pertuduhan, Cheng Sing didakwa memandu sebuah kereta secara berbahaya hingga menyebabkan kematian seorang wanita.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Jalan Loh Poh Heng, 8 Mei lalu, kira-kira pukul 10.20 pagi.

Dia didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan maksimum 10 tahun serta denda tidak kurang RM20,000 dan tidak lebih RM50,000, selain hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu lima tahun jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya
Nurul Atikah Asharaf Ali menawarkan jaminan RM10,000 terhadap tertuduh dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili peguam, Zainal Akram Zainal Azahar memohon jumlah jaminan itu dikurangkan dengan alasan akan memberikan kerjasama baik sepanjang siasatan dijalankan.

Zainal Akram turut meminta jaminan dikurangkan kerana jaminan itu hanya untuk memastikan kehadiran tertuduh ke mahkamah sepanjang prosiding berjalan.

Selepas mendengar permohonan kedua-dua pihak, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin.

Mahkamah turut menetapkan 26 Julai depan untuk sebutan semula kes.

Dalam kejadian kemalangan yang tular di media sosial pada 8 Mei lalu itu, seorang penunggang motosikal wanita dilaporkan maut selepas dirempuh dari arah belakang oleh sebuah kereta.

Susulan kejadian itu, akhbar melaporkan polis menahan enam individu bagi membantu siasatan berhubung kes pergaduhan membabitkan ahli keluarga mangsa yang terbabit dalam kemalangan di Tanjung Bungah. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya