Guna logo halal palsu, kilang proses susu kacang soya diserbu - Utusan Malaysia

Guna logo halal palsu, kilang proses susu kacang soya diserbu

SEORANG lelaki (dua dari kanan) ditahan untuk siasatan lanjut selepas serbuan op bersepadu logo halal palsu di premis memproses makanan dan minuman di Hutan Melintang semalam. - UTUSAN/IHSAN KPDN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TELUK INTAN: Sebanyak 170 botol susu kacang soya dan 4,300 unit label yang menggunakan logo halal palsu, disita Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dalam satu serbuan semalam.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDN negeri, Mohamed Aznanshah Khalid berkata, serbuan itu dijalankan di sebuah rumah yang telah diubah suai menjadi tempat memproses makanan dan minuman di kawasan Hutan Melintang dekat sini.

Katanya, serbuan pada pukul 11 pagi itu dilakukan hasil risikan selama beberapa hari di premis tersebut.

“Pemeriksaan di premis itu mendapati terdapat susu kacang soya yang telah siap diproses dan dibotolkan di mana produk berkenaan disyaki menggunakan logo halal palsu.

“Pemeriksaan lanjut juga mendapati, premis beroperasi menggunakan logo halal tanpa perakuan dan kebenaran daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim),” katanya ketika dihubungi.

Menurut beliau, semakan awal Bahagian Pensijilan Halal, Jabatan Agama Islam Ipoh turut mengesahkan bahawa premis itu tidak diberikan sebarang pensijilan atau kebenaran untuk menggunakan logo halal pada produknya.

“Siasatan mendapati, produk tersebut diedarkan ke premis-premis perniagaan runcit di sekitar Teluk Intan.

“Dalam serbuan itu, kita telah menyita 170 botol susu kacang soya dan 4,300 unit label yang mempunyai logo halal palsu dengan rampasan keseluruhan dianggarkan berjumlah RM1,182.50.

“Seorang lelaki berusia 58 tahun disyaki pemilik perniagaan ditahan untuk siasatan lanjut. Kes disiasat di bawah Perintah 8, Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011,” katanya.

Op bersepadu logo halal palsu itu disertai sepasukan pegawai dan anggota penguat kuasa KPDN Teluk Intan bersama Pejabat Kesihatan Daerah Hilir Perak dan Majlis Perbandaran Teluk Intan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya