PETALING JAYA: Pondok Al-Hasani di Pattani, Selatan Thailand yang akan dibangunkan oleh GISB Holdings (GISBH) akan dijadikan sebagai sekolah pondok contoh yang dapat membantu mengembangkan lagi ekonomi di kawasan tersebut melalui pendidikan.
Sekolah pondok itu akan menjadi medan untuk menyebarkan ilmu yang kemudiannya akan diamal, dipraktikkan dan seterusnya membangunkan ekonomi dan masyarakat.
Bagi mencapai hasrat tersebut, GISB Holdings (GISBH) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dalam satu yang diadakan di Pejabat Pegawai Daerah Saiburi baru-baru ini.
Pengerusi Eksekutif GISBH, Nasiruddin Mohd Ali berkata, kehadiran pihaknya bukan bertujuan untuk mengajar tetapi mahu mengajak bersama-sama mempraktikkan ilmu yang sudah dipelajari dari segi ekonomi, aktiviti, kemasyarakatan dan juga dari segi pertanian.
“Sebenarnya pelajar-pelajar pondok ini mereka sudah ada ilmu, cuma hendak mengamalkan dan untuk praktikkan. Jika berjaya, usaha itu akan dikembangkan ke sekolah-sekolah pondok yang lain pula,” katanya pada majlis menandatangani MoU tersebut.
GISBH diwakili Nik Hazani Nik Mohamad sementara Pondok Al Hasani diwakili Ketua Persatuan Pondok-pondok Lima Wilayah Selatan Thailand, Mohd. Suwari Hassan dengan disaksikan oleh Nasiruddin dan Ketua Majlis Agama Islam Thailand merangkap Ketua Majlis Agama Islam Lima Wilayah Selatan, Dr. Abdul Rahman Daud.
Sementara itu, Suwari berkata, perjanjian itu adalah kali pertama diadakan antara sebuah syarikat perniagaan dengan pondok pengajian di Pattani. – UTUSAN