Gesaan tarik semula pekeliling larang pesawah Perak jual padi di negeri lain - Utusan Malaysia

Gesaan tarik semula pekeliling larang pesawah Perak jual padi di negeri lain

SHAM Mat Sahat (kiri) menyerahkan pembayaran zakat PPK Bagan Serai kepada pihak Majlis Agama Islam Perak di Bagan Serai hari ini.- UTUSAN/WAT KAMAL ABAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGAN SERAI: Bahagian Kawal Selia Padi dan Beras, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan perlu menarik semula pekeliling yang dikeluarkan yang melarang pesawah di Perak menjual padi ke negeri lain.

Pengerusi Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) Perak, Datuk Sham Mat Sahat berkata, pekeliling bertarikh semalam itu boleh memberi kesan dan merugikan pesawah.

“Larangan itu boleh menyebabkan pengilang swasta membeli padi dengan harga yang murah dan mengenakan kadar potongan yang tinggi.

“Mereka (pengilang) mungkin mengambil kesempatan terhadap pesawah di negeri ini,” katanya.

Beliau ditemui pemberita pada Mesyuarat Agung Tahunan Kali Ke-45 Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Bagan Serai di Dewan Datuk Zainal Abidin Zin di sini hari ini.

Menurut Sham, sekiranya larangan penjualan itu diteruskan, ini akan memberi impak dan kerugian yang besar kepada semua pesawah di negeri ini.

“Sekiranya padi dibenarkan dijual ke luar dari Perak, pesawah mempunyai pilihan untuk menjual padi di kilang yang menawarkan harga yang tinggi.

“Namun sekiranya dilarang, dibimbangi pengilang mengambil kesempatan dengan menggunakan pelbagai alasan yang membebankan pesawah,” katanya.

Menurutnya, pihaknya akan membuat perjumpaan dengan Bahagian Kawal Selia Padi dan Beras kementerian dalam masa yang terdekat supaya menarik kembali pekeliling larangan itu.

Sementara itu, Pengerusi Jemaah Pengarah Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas), Datuk Zamri Yaakob berkata, perkara itu perlu diselesaikan dengan segera.

“Nafas akan berjumpa dengan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu sekiranya masalah itu tidak diselesaikan dengan sebaiknya,” katanya.

Sementara itu, difahamkan pekeliling tersebut diserahkan kepada PPN Perak, seterusnya PPN memaklumkan kepada PPK secara lisan kerana pekeliling tersebut baru sahaja dikeluarkan semalam.

Juga difahamkan, sebelum ini sememangnya ada larangan sedemikian tetapi tiada pekeliling dikeluarkan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya