George Town Festival 2023 jadi platform promosi pertukaran budaya - Utusan Malaysia

George Town Festival 2023 jadi platform promosi pertukaran budaya

CHOW Kon Yeow pada sidang akhbar di George Town, Pulau Pinang semalam mengenai GTF 2023 yang akan berlangsung pada 15 hingga 30 Julai depan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

GEORGE TOWN: George Town Festival 2023 (GTF) yang bakal berlangsung di sini dari 15 hingga 30 Julai depan akan menjadi satu platform untuk mempromosikan pertukaran budaya dan membina masyarakat yang lebih inklusif dan harmoni.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, festival selama 16 hari itu akan diisi dengan pelbagai karya seni tempatan dan antarabangsa yang luar biasa untuk dinikmati oleh semua golongan masyarakat.

”Festival selama 16 hari ini akan dipenuhi dengan persembahan, pameran dan acara komuniti yang menyatukan penduduk, penggiat seni, pelancong tempatan dan antarabangsa untuk meraikan perayaan seni.

”GTF 2023 mempunyai lebih 50 program dan acara dalam lapan kategori, dengan lebih daripada 10 premier dan debut yang membolehkan penonton melihat karya baharu serta asli yang dapat menyumbang kepada pertumbuhan industri seni nasional dan serantau,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Menurutnya, dengan pelbagai bentuk seni yang dipersembahkan tahun ini, para pengunjung festival dan peminat seni akan lebih teruja apabila mengetahui 70 peratus program festival itu menawarkan kemasukan atau akses secara percuma.

”Terdapat 14 rancangan bertiket yang tersedia untuk pembelian di ‘Box Office’ dalam talian yang boleh diakses 24 jam.

”Semua program diadakan di lebih 20 lokasi merentasi bandar George Town dan sekitar negeri ini bagi memastikan cara yang lebih mudah bagi penduduk tempatan di sekitar Pulau Pinang menikmati program dan acara yang dibawakan oleh GTF,” katanya.

Tambahnya, kebanyakkan produksi tahun ini adalah hasil daripada pelbagai kerjasama dan perkongsian tempatan dan antarabangsa.

”Oleh itu, festival ini merupakan salah satu contoh terhadap kepentingan dan potensi untuk perkembangan industri seni nasional dan serantau hasil daripada hubungan merentasi sempadan,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, walaupun festival itu bermula pada 15 Julai, terdapat beberapa program prafestival untuk dinikmati bagi menyambut kemeriahan itu termasuk Sounds from the East pada 8 Julai depan.

“Program ini akan diadakan di tempat letak kereta Design Village Outlet Mall yang mana Sounds from the East ini diadakan pertama kalinya di Batu Kawan.

”Ini merupakan satu usaha untuk memperluaskan pengalaman festival kepada penduduk dan penggiat bandar di sekitar Batu Kawan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya