'Gelombang PN' hanya cerita wayang - Rafizi

‘Gelombang PN’ hanya cerita wayang – Rafizi

RAFIZI RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Setelah beberapa bulan tidak bercakap isu politik tanah air, Rafizi Ramli akhirnya membuka suara menempelak ‘perang saraf’ dimainkan Perikatan Nasional (PN).

Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu dalam nada sindiran berkata, blok tersebut mungkin mahu cuba meniru gayanya ketika pernah menjadi pembangkang sebelum ini.

“Betul ketika jadi pembangkang, saya cukup rajin kritik kerajaan tetapi sekarang kenalah fokus tugas Kabinet dan mereka pula ikut stail saya, ini semua cerita wayang,” katanya sinis.

Terdahulu, beliau yang juga Menteri Ekonomi hadir menyertai sesi libat urus Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 bagi peringkat Wilayah Persekutuan, di sini hari ini.

PN akhir-akhir ini dilihat aktif memainkan isu berhubung Pakatan Harapan (PH) bakal tumbang di tiga negeri dikuasainya pada pilihan raya negeri (PRN) susulan muncul trend gelombang PN di seluruh negara apabila rakyat didakwa mula bangkit menolak PH yang dikatakan gagal mentadbir selepas Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.

“Pelik bagaimanakah Kerajaan Pusat boleh tumbang sebab ini cuma PRN, adakah berlaku undi tidak percaya atau lompat parti atau parti tertentu mahu keluar dari blok?” soalnya.

Justeru, beliau membayangkan sedia mengadakan satu sesi sidang akhbar khas dalam minggu ini bagi membongkar data kajian bebas trend sokongan rakyat terhadap kerajaan sekali gus akan ‘mematikan’ segala cakap nakal politik mengenai tahap pola kecenderungan pengundi kepada PN.

Menyentuh isu kehadiran Khairy Jamaluddin dipanggil Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berbincang mengenai ekonomi negara minggu lalu, Rafizi berkata, ia bukan pelik, malah membuktikan keterbukaan pemimpin negara sedia mendengar idea berbeza daripada pelbagai pihak meskipun berlainan ideologi demi kepentingan rakyat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya