SHAH ALAM: Analisis penyelidik meramalkan gelombang Perikatan Nasional (PN) pada enam Pilihan Raya Negeri (PRN) kelak dijangka jauh lebih besar berbanding Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.
Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, momentum PRN termasuk di Selangor kali ini menunjukkan angin perubahan untuk terus menyokong PN yang disumbang oleh faktor kerjasama antara UMNO dan Pakatan Harapan (PH).
“Dulu (sebelum PRU15), ahli UMNO tidak tahu pemimpin mereka menipu hingga ada pendirian ‘No Anwar No DAP’, maka ahli memegang kata-kata itu dan mengundi mereka dalam pilihan raya.
“Begitu juga dengan PH yang kononnya tidak mahu bekerjasama dengan UMNO atas beberapa isu integriti, namun akhirnya mereka bergabung membentuk kerajaan selepas PRU15,” katanya ketika berucap pada Jelajah Selangor Baharu Peringkat Shah Alam, malam tadi.
Jelas Tuan Ibrahim, pembohongan itu menyebabkan rakyat marah kepada UMNO dan PH.
“Bila kita bicara soal pilihan raya, ia peluang yang diberi kepada rakyat dalam sistem demokrasi untuk memilih pemimpin.
“Kita baru tiga hari bubar DUN (Dewan Undangan Negeri) Selangor dan PRN mungkin diadakan pada Ogos, ini bermakna lebih kurang sebulan untuk kita tewaskan PH dan BN (Barisan Nasional),” ujarnya.
Tegas beliau, gelombang PN yang berlaku itu merupakan satu manifestasi dan kehendak rakyat di seluruh negara.
“Siapa sangka PN mampu menang 14 daripada 15 kerusi DUN dan semua tiga Parlimen di Perlis pada PRU15 lalu. Kedah PN menang besar, begitu juga dengan Kelantan dan Terengganu memang kita jangka sebagaimana kita jangka Selangor ini (PH ) tumbang kepada PN pada kali ini,” tegasnya.
Tambah Tuan Ibrahim, pihaknya sudah tentu memfokuskan Selangor sebagai negeri utama dalam PRN kali ini.
“Bukan bermakna negeri lain tidak diberi perhatian, tetapi rakyat melihat keseluruhan PRN ini bergantung kepada Selangor. Kalau Selangor PH dan BN tumbang, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang juga tidak mustahil,” katanya lagi. – UTUSAN