GEG seolah-olah ‘rampas’ hak asasi - Utusan Malaysia

GEG seolah-olah ‘rampas’ hak asasi

GEG
Peguam cadangkan individu lahir selepas 2025 dilarang merokok, hisap vape.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 atau lebih dikenali sebagai RUU Generasi Penamat (GEG) menimbulkan pelbagai reaksi apabila ada di antara pihak kerajaan sendiri membantah pelaksanaan tersebut.

Ini kerana ia dilihat seperti ‘merampas’ hak asasi manusia apabila kerajaan menyekat terus hak golongan yang lahir bermula tahun 2007 dan seterusnya ‘diharamkan’ untuk menghisap rokok atau vape (rokok elektronik).

Malah, kerajaan turut digesa melakukan kajian mendalam mengenai GEG dan tidak boleh hanya melihat dari sudut kesihatan sahaja kerana ia melibatkan industri yang mempunyai ratusan pekerja, di mana jika diluluskan mungkin menyebabkan peningkatan kadar pengangguran pada masa akan datang.

Ahli Parlimen Sungai Buloh, Datuk R. Ramanan berkata, beliau tidak menyokong generasi baharu menghisap rokok mahupun vape, namun, kerajaan wajar melihat konteks yang lebih besar sebelum GEG dilaksanakan.

Menurut beliau, sekiranya GEG diluluskan juga akan menimbulkan persoalan mengenai penguatkuasaan di mana akan mewujudkan masalah lain selain menyebabkan RUU tersebut tidak berkesan sesuai dengan matlamat kerajaan.

“Apa perlu saya jelaskan terlebih dahulu, saya sepenuhnya membantah generasi baharu menghisap rokok atau vape, saya tidak menggalakkan mereka tetapi ini merupakan hak asasi manusia golongan terlibat, jika mereka memilih kita tidak boleh rampasnya.

“Kita juga perlu sedar apa yang bakal hilang sekirang GEG diluluskan. Berapa banyak akan kehilangan pekerjaan? Berapa banyak kedai akan ditutup? Melalui informasi diberi pada saya, terdapat 4,000 premis vape di seluruh negara dan 15,000 pekerja.

“Malah, adakah kita juga bersedia untuk hilang kutipan cukai rokok? Sedangkan ia boleh digunakan untuk menaiktaraf sistem kesihatan negara. Kita boleh bina hospital yang baik, perubatan percuma menggunakan duit tersebut.

“Selain itu, bagaimana pula dengan pelaksanaan? Seperti kita tahu undang-undang dalam Malaysia apabila seseorang meminta kad pengenalan (IC) atau lesen memandu perlu daripada pihak pegawai penguat kuasa. Jadi, adakah kita akan memberi kebenaran pula kepada seseorang yang bekerja di kedai runcit atau serbaneka yang merupakan warganegara asing untuk minta dokumen tersebut untuk mengesahkan umur.

“Jika ia dibenarkan, adakah ada jaminan tiada pencerobohan data berlaku? Di mana mereka peroleh nama, alamat kita dan sebagainya. Siapa yang akan lindungi maklumat-maklumat tersebut? GEG bukan satu perkara yang harus diimplementasi dengan tergesa-gesa,” katanya ketika ditemui media.

Utusan Malaysia melaporkan, RUU GEG dijadualkan dibaca buat kali pertama pada 12 Jun ini, dalam sidang Dewan Rakyat ia merupakan usaha kerajaan untuk membendung budaya rokok dan vape dari generasi baharu demi kesihatan awam Dasar GEG di bawah RUU itu akan mengenakan larangan membeli dan menggunakan rokok atau vape bagi individu yang lahir bermula 1 Januari 2007 dan seterusnya.

Pembentangan RUU itu sekali gus menggantikan RUU Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 yang tidak sempat direalisasi menteri terdahulu, selepas Parlimen penggal ke-14 dibubar tahun lalu.

Ramanan berkata, ia juga akan memberi kesan negatif kepada parti-parti di dalam Kerajaan Perpaduan untuk Pilihan Raya Umum (PRU) seterusnya kerana merasakan diri mereka terkesan disebabkan GEG.

“Pengguna vape dan rokok itu satu perkara, pekerja-pekerja di dalam industri rokok dan vape juga akan memberi kesan yang besar kepada kerajaan sekarang.

“Sebelum ini terdapat advokasi yang kuat terhadap Undi18, membolehkan belia yang berumur 18 tahun menentukan masa depan dan kerajaan negara. Jadi jika kita membenarkan mereka mengundi kenapa tidak boleh biarkan mereka membuat keputusan sama ada mahu merokok atau tidak,” katanya.

Tambahnya, sekiranya kerajaan ingin menghalang golongan bawah umur menghisap rokok atau vape, kerajaan perlu menaikkan harga produk-produk tersebut dan mula melaksanakan cukai kepada produk-produk berkaitan vape.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, RUU itu digunakan oleh bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairi Jamaludin untuk meraih populariti dalam kerjaya politiknya.

“Dia bentang undang-undang merampas hak orang. Dia ini nak ambil populariti sebab dia sudah tidak ada platform (pentas) sudah.
“Dia mahu stop (berhentikan) orang dari menghisap rokok, tapi dia sendiri isap apa? Tanya dia isap apa, apa perkhabaran dia. Nanti dalam dewan saya cakap,” katanya.
Bagaimanapun kata Bung Mokhtar memang tugas KKM untuk membentang (GEG).

Sementara itu, Ahli Parlimen Julau, Datuk Larry Sng Wei Shien berkata, beliau akan memberi sokongan penuh kepada pelaksanaan GEG dan memberi undinya bagi meluluskan RUU tersebut.

“Melihat kepada kajian dilakukan, ada sokongan terhadap pelaksanaan GEG itu, jadi saya percaya meluluskan RUU tersebut adalah di laluan yang betul dan merupakan langkah untuk terus kehadapan.

“Saya turut merasakan ia tidak akan memberi kesan kepada perokok sedia ada, GEG ini tidak memberi implikasi kepada mereka.Jadi tidak perlu terlalu mereka terlalu bimbang sekiranya ia diluluskan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya