Gagasan Rakyat mula atur persiapan hadapi PRN - Utusan Malaysia

Gagasan Rakyat mula atur persiapan hadapi PRN

HAJIJI Noor (tengah) bersama Ruddy Awah (kiri) semasa gimik pelancaran Gagasan Rakyat Bahagian Pitas di Dataran Pitas hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PITAS: Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) mula mengatur persiapan bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) bermula dengan pelancaran Gagasan Rakyat Bahagian Pitas, hari ini.

Ketua Menteri yang juga Presiden Gagasan Rakyat, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, kesemua 73 bahagian parti itu perlu bersiap sedia dari sekarang untuk memastikan kemenangan Gagasan Rakyat dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada pilihan raya yang akan datang.

Beliau berkata, semua bahagian dan cawangan termasuk sayap Wanita, Pemuda dan Beliawanis Gagasan Rakyat perlu bergerak awal bagi mengukuhkan jentera parti dan menambah keahlian di semua bahagian.

“Inilah yang kita akan lakukan bermula di Bahagian Pitas ini kerana Pilihan Raya Negeri akan diadakan kira-kira dua tahun lagi.

“Kalau GRS dan 73 bahagian Gagasan Rakyat sudah sedia kuatkan bahagian, banyakkan ahli di cawangan, kuatkan jentera sayap, kita boleh pastikan kita akan mendapat mandat rakyat sekali lagi pada PRN akan datang,” katanya ketika majlis pelancaran Gagasan Rakyat Bahagian Pitas, hari ini.

Hadir sama ialah Ketua Gagasan Rakyat Bahagian Pitas, Datuk Seri Ruddy Awah; Setiausaha Agung Gagasan Rakyat, Datuk Mohd. Razali Razi; Ketua Pemuda GRS, Datuk Fairuz Renddan dan Ketua Beliawanis, Emmie M. Idang.

Gagasan Rakyat Bahagian Pitas adalah yang pertama dilancarkan oleh Hajiji di peringkat bahagian selepas pelancaran Gagasan Rakyat di peringkat negeri pada 2 Mac lalu.

Hajiji berkata, berdasarkan sambutan rakyat terhadap parti itu yang semakin memberangsangkan, beliau yakin Gagasan Rakyat mempunyai masa depan yang cerah di negeri ini.

“Rakyat kita mahu sebuah parti tempatan untuk menjadi platform kita berjuang membela nasib rakyat kita di Sabah. Kita tubuh parti ini bukan mudah, semua tahu perjalanan politik kita di Sabah ini berliku dan penuh cabaran.

“Tapi saya yakin dengan Gagasan Rakyat, perjuangan parti tempatan ini kita dapat angkat bersama GRS untuk Sabah. Inilah gabungan besar yang akan kita gunakan pada PRN akan datang.

“Kita mahu menyatupadukan rakyat kerana kita telah mengalami pelbagai gelombang cabaran politik Sabah. Bukan mudah untuk kita sampai ke kedudukan hari ini sehingga kita berjaya menggunakan parti tempatan,” katanya.

Hajiji berkata, beliau yakin dengan keupayaan GRS yang kini dianggotai tujuh parti dalam menghadapi apa sahaja cabaran ke arah membangunkan Sabah seperti aspirasi rakyat negeri ini.

“Inilah perjuangan kita dalam Gagasan Rakyat, kita pilih parti lokal, cukuplah kita ikut parti nasional. Sekarang tiba masa untuk kita pakai parti lokal, tapi kita tidak boleh gaduh dengan parti nasional. Kita mesti juga kawan dan kerjasama dengan parti nasional tapi keutamaan kita ialah parti tempatan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya