KLANG: Cubaan menyeludup 3.3 tan metrik limau kasturi dari Indonesia bernilai RM3,525 tanpa permit import gagal apabila dirampas Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan (Maqis) di Pelabuhan Barat di sini, kelmarin.
Kesemua buah bernilai RM3,525 itu ditemui Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) dalam sebuah kontena, kira-kira pukul 12 tengah hari.
Pengarah Maqis Selangor, Mohd. Sobri Md. Hashim berkata, bahan makanan itu ditemui ditempatkan dengan pisang dalam kontena sama kira-kira pukul 12 tengah hari ketika pemeriksaan rutin di pelabuhan tersebut.
“Semakan mendapati limau yang dibawa masuk itu tidak diikrar pada borang Kastam dan tiada permit import Maqis. Kesemua buah berkenaan ditahan bagi tindakan dan siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Mohd. Sobri, kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 11 (1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728).
“Sabit kesalahan, ia memperuntukkan hukuman di bawah Seksyen 11(3) akta sama iaitu denda tidak lebih RM100,000 atau penjara sehingga enam tahun atau kedua-duanya sekali.
“Maqis sentiasa memeriksa keluaran pertanian di setiap pintu masuk negara bagi memastikan tumbuhan, haiwan, karkas, ikan dan mikroorganisma yang diimport bebas ancaman perosak, penyakit dan bahan cemar,” ujarnya. – UTUSAN