Fenomena terulung ratu rock negara - Utusan Malaysia

Fenomena terulung ratu rock negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAHUN ini tercatat empat dekad perjalanan seni ratu rock negara, Ella Aminuddin. Sehingga detik ini, Ella atau Nor Zila Aminuddin kekal menjadi satu-satunya penyanyi rock wanita paling berpengaruh dan dihormati.

Konsert Jilid Akhir Ella Puteri Kota 2.0 yang berlangsung baru-baru ini adalah satu pembuktian bahawa Ella penyanyi yang relevan sepanjang zaman. Bersaksikan lautan manusia, dewan Axiata Arena Bukit Jalil malam Sabtu dan Ahad lalu sesak dengan kehadiran peminat tegar ratu rock sejati yang membanjiri pekarangan seawal pukul lima petang.

Tiket konsert dua malam habis terjual. Formula harga (tiket) yang agak ‘rahmah’ nyata berhasil. Ella hujung minggu lalu telah merealisasi hasrat peminat. Jilid Akhir Ella Puteri Kota 2.0 bukan sekadar sebuah konsert. Ia adalah momen istimewa buat anak kelahiran Pulau Pinang ini dan para pencintanya.

TENAGA LUAR BIASA

Di usia 56 tahun, penyanyi kesayangan ramai ini membuktikan umur hanya sekadar angka apabila mempamerkan persembahan bertenaga membawakan 36 buah lagu sepanjang tempoh lebih dua jam.

Gaya dan aksi mengalahkan orang muda, ibaratnya Ella tidak dimakan usia. Begitu juga kemantapan vokal penyanyi ini yang boleh disifatkan antara yang terbaik pernah dipersembahkannya.

Rahsia di sebalik kemampuan luar biasa dikongsikan Ella sewaktu sidang media usai persembahan malam pertama.

“Senaman, rutin yang konsisten dan semangat. Insya-Allah,” katanya.

LAGU MALAR SEGAR

Penulis ingat kata-kata seorang penyanyi ‘otai’ tentang pentingnya lagu-lagu malar segar yang menentukan kejayaan dan keberkesanan sesebuah konsert.

Perkara itu penulis saksikan pada konsert Ella. Rangkaian lagu berimpak tinggi dan membekas jiwa pendengar menjadi senjata terampuh penyanyi bertaraf legenda sepertinya.

Peminat rata-rata bergembira saat ratu rock negara mempersembahkan lagu-lagu hits seperti Layar Impian, Nuri, Pengemis Cinta, Permata Biru, Sembilu, Sepi Sekuntum Mawar Merah, Gemilang, Standing In The Eyes Of The World dan banyak lagi.

Pada satu segmen, Ella meninggalkan pentas seketika, membiarkan penonton menghayati momen simbolik dengan menyanyikan lagu Rama-Rama secara beramai-ramai.

Pilihan lagu langsung tidak mengecewakan. Pengunjung nyata berpuas hati. 36 lagu bukan jumlah yang sedikit malah dianggap sangat memadai untuk sebuah konsert bertaraf mega.

AMY SEARCH, RAMLI SARIP

Sorakan penonton bergema sebaik Datuk Amy Search memunculkan diri menyanyikan lagu Dua Insan Bercinta secara duet dengan Ella pada malam pertama konsert tersebut.

Menjadi antara momen yang paling diingati, peminat buat kesekian kalinya menyaksikan penyatuan aura raja rock dan ratu rock negara yang mencetuskan fenomena.

Amy turut menghadiahkan persembahan bertenaga menerusi lagu Kerja Gila yang dibawakan secara solo.

“Amy adalah king of rock, beliau cukup layak,” kata Ella ketika disoal pemberita tentang kehadiran Amy di konsert tersebut.

Kejutan tidak berakhir pada malam pertama. Persembahan malam kedua digegarkan pula dengan kehadiran papa rock Datuk Ramli Sarip yang sempat berduet dengan Ella menerusi lagu Kembara Kita.

Ramli juga tidak ketinggalan menghadiahkan lagu Istilah Bercinta pada malam itu.

PEACE, LOVE RINDU

Itu adalah lagu yang dinyanyikan secara Ella bersama suami tercinta, Kapten Azhar pada konsert itu.

Persembahan tersebut menjadi antara momen penting yang simbolik terhadap keutuhan rumah tangga pasangan berkenaan.

“Ia adalah tentang perjalanan kami,” ujar Ella.

XYLOBANDS

Antara elemen yang paling mencuri perhatian sewaktu penganjuran konsert Jilid Akhir Ella Puteri Kota 2.0 adalah adaptasi teknologi seperti penggunaan gelang xylobands yang diperkenalkan kumpulan Coldplay dalam salah sebuah konsert mereka pada 2012.

Jelas Ella tidak ketinggalan mengaplikasikan penggunaan gelang berkenaan kepada semua penonton yang hadir ke konsertnya minggu lepas.

Lebih menakjubkan apabila gelang yang dilengkapi teknologi bluetooth itu mampu berubah warna mengikut lagu yang dipersembahkan Ellah.

Pada masa sama, visual pentas serta sistem bunyi yang digunakan untuk konsert berkenaan juga wajar mendapat pujian.

MALAYSIA BOOK OF RECORDS

Jilid Akhir Ella Puteri Kota 2.0 juga diiktiraf Malaysia Book of Records sebagai konsert penyanyi tempatan pertama yang tiketnya habis terjual dalam tempoh 24 jam.

Pengiktirafan itu diberikan selepas 10, 000 tiket untuk konsert tersebut ‘licin’ dalam tempoh berkenaan.

Penyanyi lagu Pengemis Cinta itu, ketika ditanyakan tentang pencapaian itu meluahkan rasa bangga dengan pengiktirafan tersebut.

“Saya menghargai dan berbangga atas penghormatan serta sokongan daripada peminat, terima kasih,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya