KUALA TERENGGANU: Fenomena awan pelangi yang berlaku di Kuala Terengganu kelmarin adalah kejadian yang jarang berlaku namun ia bukanlah sesuatu yang luar biasa.
Pengarah Pejabat Meteorologi Terengganu, Rosli Zakaria berkata, fenomena awan pelangi Iridescent Cloud tersebut berlaku apabila awan melindungi cahaya matahari dan pernah terjadi di beberapa lokasi lain sebelum ini.
“Fenomena itu menzahirkan pemandangan yang cantik apabila puncak awan tinggi yang mengandungi kristal ais membiaskan cahaya matahari.
“Tiada apa yang perlu dibimbangkan dan tidak perlu dikaitkan dengan sebarang kejadian aneh atau khurafat kerana ia fenomena biasa yang boleh dirakamkan sebagai video atau foto untuk kenang-kenangan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, semalam.
Terdahulu, penduduk di daerah ini teruja dengan fenomena awan pelangi yang terjadi kerana ia dikatakan jarang berlaku di negeri ini.
Perkongsian seorang individu dengan nama Aniy Stylo yang memuat naik gambar dan video mengenai keindahan fenomena awan pelangi di Facebook menerima reaksi dari netizen.
Kebanyakan mereka turut berkongsi gambar dan video yang dirakam di lokasi berbeza di sini dan teruja kerana dapat menyaksikannya di depan mata. – UTUSAN