Faktor semula jadi kepulauan jadikan durian Balik Pulau berkualiti - Utusan Malaysia

Faktor semula jadi kepulauan jadikan durian Balik Pulau berkualiti

TAN Chee Keat bersama bapanya, Tan Eow Chong, 62, ketika ditemui di Mengkuang Titi, dekat Kubang Semang, Pulau Pinang semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

BUTTERWORTH: Faktor cuaca dan persekitaran alami pada bahagian pulau di negeri ini menjadi elemen utama dalam menghasilkan durian berkualiti.

Pemenang Durian Terbaik Kategori Klon D153 (Hor Lor) dalam Pertandingan Durian Peringkat Negeri Pulau Pinang 2023, Tan Chee Keat, 32, berkata faktor unik tersebut mampu membezakan durian Pulau Pinang dengan durian negeri lain di pasaran.

“Kedudukan Pulau Pinang pada bahagian pulau yang dikelilingi laut mempengaruhi rasa buah durian itu sendiri termasuklah menjadikan isi durian masak sepenuhnya.

“Malah, tidak dinafikan angin laut juga dilihat sebagai baja semula jadi yang mampu menghasilkan rasa isi durian lebih sedap, padu dan berkualiti,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui pada Majlis Perasmian Penutupan Pesta Durian dan Agrofest Pulau Pinang 2023, dekat Kubang Semang, di sini semalam.

PELBAGAI jenis buah durian dari seluruh Pulau Pinang dipamerkan pada Majlis Perasmian Penutupan Pesta Durian dan Agrofest Pulau Pinang 2023, di Kubang Semang, Pulau Pinang semalam.

Chee Keat yang membesar dalam keluarga pengusaha durian sejak tiga generasi berkata, jika durian ditanam bukan dari bahagian kepulauan, tekstur dan rasanya tidak akan sama seperti durian Pulau Pinang.

“Hal ini memang terbukti di mana saya mengambil contoh rasa durian Udang Merah dari negeri lain agak manis berbanding durian Udang Merah dari Balik Pulau yang lebih kepada manis-manis pahit,” katanya yang juga merupakan pengeksport durian.

Tambah Chee Keat, dia turut mengeksport durian sejuk beku ke negara luar antaranya China, Australia dan Amerika Syarikat dengan hasil pendapatan mencecah kira-kira RM2 juta semusim.

“Saya berterima kasih kepada kerajaan kerana memberi peluang kepada usahawan seperti saya mengembangkan perniagaan melalui pemasaran produk buah tempatan ke pasaran luar.

“Malah, kami juga dalam perancangan untuk mengeksport durian Balik Pulau ke negara Emiriah Arab Bersatu (UAE) antaranya Dubai kerana banyak orang kita (Malaysia) tinggal dia sana yang menginginkan durian Balik Pulau.

“Hal ini disebabkan di Dubai hanya mempunyai durian dari negara Thailand sahaja,” katanya.

Dia menambah, ramai pelanggan dari seluruh pelosok negara akan berkunjung ke dusun durian miliknya dan keluarga di Balik Pulau bagi merasai sendiri keenakan raja buah tersebut setiap kali menjelangnya musim durian.

“Paling ramai (pelanggan) ialah dari Kuala Lumpur. Durian yang sering menjadi buruan pelanggan pula jenis Udang Merah dan Hor Lor., memang popular ketika ini,” katanya yang memiliki dusun durian di Titi Serong, Teluk Kumbar, Teluk Bahang, Relau dan Sungai Ara yang kesemuanya berkeluasan kira-kira 68 hektar (170 ekar).

Terdahulu, Majlis Perasmian Penutupan Pesta Durian dan Agrofest Pulau Pinang 2023 itu dirasmikan Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak dan turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Agroteknologi dan Keselamatan Makanan, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan negeri, Dr. Norlela Ariffin. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya