BALING: Seorang pegawai kanan dari Kesatuan Eropah (EU) dijangka mengadakan lawatan ke Malaysia dan Indonesia minggu hadapan bagi membincangkan isu berkaitan diskriminasi minyak sawit di benua itu.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, lawatan itu susulan kunjungan misi pelaburan bersama Malaysia-Indonesia ke EU bulan lalu bagi mempertahankan industri minyak sawit.
“Kita lihat perkara ini lebih kepada diskriminasi perniagaan. Malaysia dan Indonesia bersetuju untuk bergerak bersama dalam memastikan pandangan kedua-dua negara disertakan dalam garis panduan.
“Kita akan adakan perbincangan dengan pegawai kanan itu dan menerangkan pendirian Malaysia-Indonesia. Ini bagi memastikan setiap garis panduan yang akan dikeluarkan EU kelak hanya selepas pandangan kita didengari,” katanya.
Beliau yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Sesi Sembang Warung bersama pekebun kecil getah di Kampung Charok Gorok di sini, hari ini.
Baru-baru ini, Presiden Indonesia, Joko Widodo menyeru agar diwujudkan kerjasama lebih kukuh dengan Malaysia demi memerangi diskriminasi terhadap produk kelapa sawit yang dihasilkan kedua-dua negara.
Dalam kunjungan ke EU tersebut, Fadillah mengetuai delegasi Malaysia manakala Indonesia diketuai Menteri Koordinator Bidang Perekonomian, Dr. Airlangga Hartarto.
Sementara itu, ujarnya, Malaysia dan Indonesia mencapai persetujuan untuk turut membincangkan isu diskriminasi minyak sawit oleh EU dan pelaksanaan Peraturan Produk Bebas Penebangan Hutan Kesatuan Eropah (EUDR) di peringkat ASEAN.
Fadillah berkata, persetujuan itu dicapai kerana sekatan terbabit bersifat kompetitif terhadap produk sawit berbanding alasan pembukaan hutan.
“Kelapa sawit yang ditanam boleh bawa pulangan selama lebih 25 tahun. Kos kita lebih rendah berbanding minyak sayuran yang dihasilkan negara EU. Jadi untuk bersaing dengan kita, mereka perkenalkan banyak perkara yang bagi kita boleh menyebabkan kos perniagaan lebih mahal,” katanya.
Sementara itu dalam perkembangan lain, Fadillah yang juga Ketua Whip Gabungan Parti Sarawak (GPS) berkata, gabungan itu mengambil pendirian menyerahkan sepenuhnya kepada pihak terlibat isu permohonan maaf DAP seperti dibangkitkan Pemuda UMNO untuk diselesaikan.
Katanya, hasrat mensejahterakan rakyat dan meningkatkan ekonomi negara menjadi perkara utama yang ingin ditumpukan mereka berbanding bermain politik semata-mata selain turut menggesa semua pihak memastikan situasi politik negara berada dalam keadaan stabil.
“Apa yang penting, saya harap semua kita untuk bersama kerana dalam apa bentuk sekalipun perlu pastikan politik (negara) stabil, yang itu lebih utama daripada melihat kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) sahaja.
“(Berkaitan mohon maaf) itu saya serahkan kepada parti masing-masing tetapi apa pun saya (ingin) katakan berhentilah berpolitik dahulu, tumpukan kepada perkhidmatan untuk kita pastikan pemulihan ekonomi negara dapat dilaksanakan dan bantuan kepada rakyat dapat dilaksanakan,” katanya. –UTUSAN