Eraser: Adibah Noor di filem terakhirnya - Utusan Malaysia

Eraser: Adibah Noor di filem terakhirnya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Setelah berminggu-minggu menonton filem dengan genre seram, aksi dan biopik, kali ini saya mengambil jeda. Memilih sebuah naskhah drama kekeluargaan anak tempatan bertajuk Eraser yang baru sahaja ditayangkan di platform penstriman Prime Video awal bulan ini.

Eraser disutradarai oleh Mark Lee See juga merupakan satu-satunya naskhah yang merakamkan perjalanan akhir Allahyarham Adibah Noor sebagai pelakon sebelum berpulang ke negeri abadi pada Jun tahun lalu.

Tidak dinyatakan secara jelas bilakah latar masa Eraser berlangsung. Namun melihat prop yang digunakan seperti telefon bimbit, keadaan kedai alat tulis, kotak simpanan barang kemas, televisyen dan cara berpakaian, saya menebak filem ini berjalan sekitar 20 tahun lalu.

Semua cerita ini terjadi di sebuah desa bernama Kampung Jalan Tengah yang dihuni pelbagai bangsa. Menceritakan Ahmad iaitu anak kepada Azman si tukang pembuat batu nisan dan isterinya Khadijah.

Mereka menyelamatkan seorang gadis berbangsa Cina bernama Xiao Li dan ibunya Ah Yoke daripada menjadi mangsa keganasan rumah tangga. Mereka tinggal bersama-sama dalam tempoh beberapa bulan sekaligus melahirkan bibit cinta antara Ahmad dan Xiao Li.

Mempersoal nilai bermasyarakat

Sepanjang menonton filem ini, anda akan disajikan dengan sebuah sinematografi yang indah berdasarkan kepada cerapan imejan seperti kambing, wanita melakukan tai chi dalam remang cahaya pagi, pohon dan babak kesukaan saya iaitu tasik dari sudut pandangan mata helang (bird’s eye view).

Bukan itu sahaja, menonton jalan cerita yang menunjukkan keakraban antara Samy, Azman, Khadijah dan Tan dalam filem ini sedikit sebanyak menyuburkan kembali harapan dan ingatan terhadap nilai perpaduan rakyat Malaysia yang berbilang kaum.

Sesebuah filem tidak hanya merakamkan sebuah realiti namun ia juga boleh menjadi sebuah idea semacam cermin untuk kita melakukan refleksi. Contohnya, babak di mana Ah Yoke memberikan semua barang kemas simpanannya kepada Azman untuk digadaikan.

Jika difikirkan, tidak ada orang yang begitu naif memberikan barang berharganya kepada seorang lelaki yang baru dikenalinya selama beberapa minggu. Namun menurut saya Lee See ingin menunjukkan kepada penonton, kepercayaan seperti inilah yang dipersoalkan dan tidak ada dalam masyarakat kita.

Bayangkan jika benar di kehidupan nyata ada dua keluarga yang tinggal sebumbung seperti Ahmad dan Xiao Li, sudah tentu mereka akan menjadi bahan umpatan keliling kampung.

Namun, penduduk Kampung Jalan Tengah menganuti prinsip seperti sajak Usman Awang yang berbunyi ‘bukankah kecurigaan telah terbunuh saat kita bersapa?’

Aura Yasmin Ahmad

Tetapi, saya tidak menolak bahawa sepanjang menonton Eraser, filem ini memberikan saya aura karya Yasmin Ahmad. Mungkin pengarah terinspirasi daripada hasil kerja Yasmin.

Daripada pemilihan babak yang begitu Mukhsin, kadangkala begitu Sepet atau begitu Talentime. Pendek kata acuannya sama namun garapannya Eraser lebih didaktik menjadikan filem ini sedikit ‘keras’.

Ada beberapa dialog yang kedengaran seperti bersyarah atau seperti laungan slogan. Kadangkala saya merasakan seperti menonton sebuah iklan merdeka yang dihasilkan mana-mana syarikat korporat namun versi panjang.

Di samping lakonan dan keserasian Nam Ron dan Adibah Noor yang sangat cemerlang, saya berpendapat lakonan watak Azman kurang memberi jiwa. Namun jika diberikan latihan yang lebih banyak, lakonnya lebih baik.

Terima kasih Adibah Noor

Pembikinan Eraser adalah sebuah penghormatan buat Allahyarham Adibah Noor. Apa lagi watak yang dibawa Adibah di dalam filem ini seperti menceritakan detik akhirnya sebelum menghembuskan nafasnya yang terakhir.

Saya tidak boleh menceritakan lebih lanjut kerana ia akan memberikan spoiler kepada pembaca. Namun cukuplah saya nyatakan, babak tersebut sangat menyayat hati dan membuatkan saya mengalirkan air mata.

Terima kasih Eraser kerana setidaknya filem ini menyimpan memori seorang anak seni negara di penghujung hayatnya. Al-Fatihah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya