PETALING JAYA: Pelakon dan pengarah, Datuk Seri Eizlan Yusof mengakui terharu dengan penerimaan luar biasa kepemimpinan tertinggi Pas sehingga peringkat akar umbi sejak menjadi ahli parti itu, minggu lalu.
Sebelum menyertai Pas, katanya, dia bimbang sekiranya parti itu tidak menerima kehadirannya disebabkan dirinya yang berlatarbelakangkan bidang hiburan.
“Sejak menyertai Pas bersama Tan Sri Annuar Musa minggu lalu, saya merasai sendiri penerimaan mereka yang sangat mengalu-alukan penyertaan kami dengan tangan terbuka.
“Sejujurnya, sebelum membuat keputusan menyertai Pas, saya risau apakah parti itu menerima saya kerana dari bidang hiburan,” katanya.
Eizlan yang juga Ahli Dewan Tertinggi Muafakat Nasional (MN) berkata, dia mengikuti beberapa siri Ceramah Umum Perikatan Nasional (PN) di Negeri Sembilan, Selangor, Melaka, Kelantan dan Kedah, sejak minggu lalu.
Kehadiran Eizlan ke setiap siri ceramah sebagai memberi sokongan kepada Annuar, namun tidak menyangka dirinya turut disambut mesra sebagai ahli keluarga Pas, bukan sebagai figura seni semata-mata.
“Contohnya di Kelantan, saya disambut mesra Datuk Mohd Nassuruddin Daud dan Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah pula menyifatkan penyertaan saya dan Tan Sri (Annuar) memberi impak besar.
“Malah ketika di Negeri Sembilan, minggu lalu, Setiausaha Agong PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan sendiri yang umumkan penyertaan saya ke dalam Pas kepada media,” katanya terharu.
Susulan itu, Eizlan menyifatkan penerimaan dirinya ke dalam Pas memberi semangat dan kekuatan untuk memperkasakan agama dan bangsa bersama parti itu.
Sebelum ini, keputusan pelakon filem Town Mall itu menyertai Pas mendapat pelbagai reaksi dari pemerhati politik dan media tempatan kerana pernah bertanding bawah tiket Parti Pejuang pada Pilihan Raya Umum ke-15 lalu.