PETALING JAYA: Edven Ying tampil di kejohanan golf Jelajah Toyota dengan penuh bergaya apabila mengenetepikan cabaran pemain pilihan Ervin Chang dengan kelebihan tiga pukulan untuk menjulang Piala Vios di Templer Park Country Club (TPCC), Rawang, baru-baru ini.
Pemain berumur 21 tahun itu bermain sembilan lubang pertama di bawah par selepas dua bogey tetapi dia tampil memperbaiki permainan untuk meneruskan saingan dengan par lima pada lubang ke-13 dan menambah birdie selepas itu par empat.
Pemain berasal dari Kuantan, Pahang itu terus mendahalui semua pesaing pada aksi berikutnya, sekali gus mencatatkan kemenangan untuk tiga bawah 69 dan 11 bawah 205 secara agregat untuk kejohanan yang berlangsung selama tiga hari.
“Saya benar-benar tidak menjangka namun, tidak berasa terlalu gementar semasa pusingan itu. Niat saya adalah untuk berpegang kepada pelan permainan saya dan bermain golf yang bagus, tidak kira sama ada saya menang atau kalah.
“Selepas ADT Selangor Masters tahun lepas, saya meletakkan sasaran untuk memenangi acara pro tahun ini dan mencapainya dalam Jelajah Toyota. Kejayaan ini sangat menggembirakan saya.
“Ayah saya memperkenalkan permainan ini kepada saya ketika saya berumur enam tahun. Jadi sungguh mengagumkan, dia memandu jauh dari Kuantan selepas mengetahui saya mendahului pada hari kedua,” kata Edven yang teruja dengan kemenangan profesional pertamanya bernilai RM31,500.
Toyota Tour dianjurkan oleh UMW Toyota Motor itu turut dihadiri Timbalan Pengerusi UMW Toyota Motor, Takeshi Obata; Pengurus Besar PGM, Nik Mustapha dan Pengarah Urusan Templer Park, Datuk Manibalan Kutty.
Sementara itu, Ervin mengakui dia banyak melakukan kesilapan pada hari terakhir kejohanan, sekali gus gagal bergelar juara biarpun turun selaku pemain pilihan.
“Dalam dua pusingan pertama, terdapat banyak putt salah baca dan ‘lip-out’. Itulah perbezaannya,” kata Ervin yang akan ke Thailand untuk bersaing dalam dua acara ADT.
Sementara itu, Jocelyn Chee muncul juara bagi kategori wanita apabila dia melakukan 214 pukulan sekali gus berjaya membawa pulang hadiah berupa wang tunai sebanyak RM10,000.
Jocelyn mengenepikan pendahulu pada hari kedua, Genevieve Ling dengan satu pukulan manakala, Aretha Pan mengakhiri saingan di tempat ketiga.
Pemain yang berasal dari Sungai Petani, Kedah itu berkata, perubahan permainan berlaku pada par tiga titik perubahan adalah pada par tiga ke-16 ketika dia melakukan birdie dan Genevieve bogey.
“Saya gementar pada permulaan tetapi masih teruja untuk bermain dengan pemain profesional yang lebih berpengalaman. Saya terpaksa menstabilkan diri dan fokus bermain pukulan demi pukulan. Genevieve ialah pemain yang bagus,” katanya.
Jocelyn adalah lulusan California Baptist University dan menjadi profesional pada Februari tahun ini dan dia berhasrat untuk bermain dalam dua Jelajah Toyota seterusnya di Perak dan di The Mines sebelum menyertai kejohanan di Thailand.
Sementara itu, Genevieve akan menuju ke Taiwan, Singapura dan Thailand untuk kejohanan pada minggu-minggu berikutnya.
Dalam pada itu, Afif Fathi dan Amalia Shahzan masing-masing memenangi Amatur Terbaik untuk lelaki dan perempuan.
Pusingan seterusnya Jelajah Toyota ialah Piala Corolla di GC Diraja Perak pada 11-13 Julai. – UTUSAN