PUTRAJAYA: Kerajaan bersetuju supaya duti setem ke atas surat cara pindah milik harta tanah secara kasih sayang melibatkan ibu bapa dan anak, datuk nenek dan cucu dikecualikan sepenuhnya terhad kepada RM1,000,000 pertama nilai harta tanah.
Kementerian Kewangan (MOF) menerusi kenyataan akhbar hari ini berkata, baki selebihnya daripada nilai harta tanah tersebut tertakluk kepada kadar duti ad valorem dan diberi remisi sebanyak 50 peratus ke atas duti setem yang dikenakan.
Menurutnya, layanan duti setem ini terpakai bagi surat cara pindah milik harta tanah yang disempurnakan mulai 1 April 2023.
Dalam pada itu, MOF berkata, seperti mana diumumkan pada Belanjawan 2023 lalu, kerajaan juga akan meneruskan pengecualian duti setem bagi pemilikan rumah pertama untuk menggalakkan pemilikan rumah di kalangan rakyat.
Katanya, pengecualian itu terpakai di bawah Program Pemilikan Rumah ( Home Ownership Programme – HOPE) iaitu pemilikan rumah pertama menerusi Inisiatif Pemilikan Kediaman Malaysia (i-MILIKI).
“Menerusi inisiatif itu, pengecualian duti setem diberikan ke atas surat cara pindah milik dan perjanjian pinjaman dimana pengecualian duti setem 100 peratus diberi bagi pembelian rumah berharga tidak melebihi RM500,000.
“Selain itu, pengecualian duti setem 75 peratus pula diberikan bagi pembelian rumah berharga melebihi RM500,000 sehingga RM1,000,000,” katanya.
Katanya, layanan duti setem ini terpakai bagi perjanjian jual beli yang disempurnakan dari 1 Jun 2022 sehingga 31 Disember 2023. – UTUSAN