JERANTUT: Seramai 60 pekebun dan 15 pemasar Durian Kampung Premium (DKP) Damak di sini mampu memperoleh pendapatan keseluruhan sehingga melebihi RM1 juta musim ini apabila raja buah itu mendominasi pasaran luar daerah dan tempatan.
Ia sekali gus mampu bersaing dengan jualan Musang King.
Hasil klon DKP iaitu udang merah, black thorn, damak king, naga merah, mas hijau kulit buaya, naga emas, tangkai panjang, D2 dan Aji Aziz termasuk durian kampung sudah mula gugur bermula bulan ini.
Tinjauan bersama pekebun di kawasan Kampung Damak menganggarkan lebih 200,000 biji DKP dan durian kampung berbuah di kebun itu musim ini.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, peniaga durian kampung, Zulkifly Mahmud, 57, berkata, sehingga awal bulan ini, dia dan rakannya sudah memasarkan lebih 10,000 biji DKP ke Terengganu dan Lembah Klang dengan nilai jualan kira-kira RM16,000.
“Seperti musim sebelum ini, nilai pasaran keseluruhan DKP, durian kampung dan musang king bagi pekebun kawasan Damak mencecah lebih RM1 juta berasaskan nilai jenis DKP antara RM25 hingga RM50 sekilogram manakala durian kampung asal RM8 hingga RM10 dan musang king RM30 hingga RM60,” katanya.
Sementara itu, peraih durian kampung, Ramli Mustapha, 50, berkata, harga buah DKP seperti black thorn dan seri damak setanding dengan musang king pada musim ini dan mencapai harga antara RM50 hingga RM70 sekilogram.
Katanya, damak king pula, RM55; naga merah dan mas hijau masing-masing berharga minimum RM35. – UTUSAN