DUN Pulau Pinang rasmi dibubar esok - Utusan Malaysia

DUN Pulau Pinang rasmi dibubar esok

CHOW Kon Yeow ditemui pemberita selepas bertemu Ahmad Fuzi Abdul Razak di Seri Mutiara, George Town pagi ini bagi mendapatkan persetujuan membubarkan DUN Pulau Pinang. -Pic: IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

GEORGE TOWN: Ketua Menteri, Chow Kon Yeow bertemu Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak pagi ini bagi mendapatkan persetujuan untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang.

Kenderaan yang dinaiki Kon Yeow kelihatan memasuki kediaman rasmi Yang Dipertua Negeri, Seri Mutiara di sini kira-kira pukul 7.53 pagi sebelum beliau dilihat meninggalkan kediaman itu kira-kira setengah jam kemudian iaitu pukul 8.33 pagi.

Turut memasuki kediaman rasmi Yang Dipertua Negeri ialah Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd. Sayuthi Bakar.

Sementara itu, bercakap kepada pemberita, Kon Yeow berkata, beliau telah mendapat persetujuan daripada Ahmad Fuzi untuk membubarkan DUN Pulau Pinang berkuat kuasa esok.

CHOW Kon Yeow (berdiri) menyaksikan Ahmad Fuzi Abdul Razak menandatangani proklamasi pembubaran DUN Pulau Pinang di Seri Mutiara, George Town pagi ini.

”Pada pagi ini saya telah mendapat persetujuan Yang Dipertua Negeri untuk menandatangani proklamasi untuk DUN dibubarkan bagi membuka jalan untuk PRN negeri, ia akan ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) selepas semua negeri (yang terlibat PRN) membubarkan DUN masing-masing.

”Saya rasa lega selepas semua ini berakhir dan kita boleh membuat persediaan bagi mengadakan PRN,” katanya.

Menurut Kon Yeow, beliau akan mengadakan satu sidang akhbar mengenai pembubaran DUN Pulau Pinang kira-kira 2.30 petang hari ini.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), enam negeri iaitu Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Kelantan dan Terengganu tidak membubarkan DUN masing-masing, maka satu PRN perlu diadakan sekiranya kerajaan negeri berkenaan membubarkan DUN masing-masing atau DUN terbubar dengan sendiri selepas tamat tempoh.

Mengambil kira tempoh pembubaran itu, PRN di Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu serta Kelantan dijangka diadakan pada Julai atau Ogos ini iaitu 60 hari daripada tarikh pembubaran.

PRN itu perlu diadakan memadangkan tempoh mandat DUN di enam negeri berkenaan akan berakhir pertengahan tahun ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN