PETALING JAYA: “Dulu saya sangat takut untuk melepaskan. Dulu saya benci perpisahan. Dulu saya benci mengakhiri sesuatu.”
Demikian luahan pelakon, Puteri Sarah selepas diceraikan dengan talak satu oleh pengarah, Syamsul Yusof di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan semalam.
Pelakon itu berkata, dia takut apa kemungkinan yang bakal didepani namun dia sedar, ketakutan adalah penghalang untuk dia meneruskan hidup biarpun terpaksa melepaskan.
“Dulu saya sangat takut betapa sakitnya hati saya ketika mereka tidak ada lagi dalam hidup saya.
“Saya memiliki banyak pertanyaan bagaimana, jika dan apa yang bisa terjadi kemudian dan disitulah kesalahan saya selama ni, takut akan segalanya,” ujarnya.
Dalam pada itu, Puteri Sarah menambah, dia juga sedar, semua yang telah berlaku (perceraian) adalah aturan Tuhan dan betapa indahnya dia melepaskan sesuatu yang mungkin bukan miliknya lagi.
“Sekarang saya mengerti. Ketika sesuatu berakhir, itu berakhir kerana suatu alasan. Ketika sesuatu tidak berhasil, itu tidak berhasil kerana sesuatu alasan. Kamu tahu melepaskan itu indah.
“Terkadang, itu sulit. Tapi selalu ingatkan dirimu bahawa setiap yang berlaku atas izin- Nya. Lepaskanlah hal-hal yang telah menyakitimu.
“Bersabarlah dalam prosesnya. Kerana setelah setiap kesabaran , ada hal yang indah yang menantimu,” katanya.