SENTIASA energetik, kreatif dan lincah menjadikan penyanyi rap dan penulis lirik, Zamaera, mempunyai identiti yang kuat untuk diingati.
Sifat ramah pemilik nama sebenar Sharifah Zamaera Al Edros Syed Zafilen, malah terlihat dalam karya-karya yang dihasilkannya sebelum ini termasuk single sulungnya, Helly Kelly.
Cukup mudah untuk dikenali dengan imej dan perwatakan tersendiri, Zamaera kembali merencana kariernya tahun ini menerusi single baharu yang diberi judul Dulu.
Dulu disifatkan penyanyi berusia 28 tahun ini sebagai karya yang menghimpunkan momen dan pengalaman karier seninya selama ini.
Ia dihasilkan oleh Zamaera seperti air mengalir dan setiap bait perkataan yang ditulis mencerminkan perasaannya.
“Dulu sangat istimewa buat saya. Ia mengisi momen dan pengalaman yang dilalui sebagai artis sejak 2012 sehingga sekarang. Semuanya disampaikan dengan jelas melalui lirik yang ditulis.
“Ramai yang tidak tahu saya seorang penyanyi sebelum menjadi penyanyi rap pada 2017,” katanya.
Menelusuri bakat seawal usia sembilan tahun dan memenangi satu pertandingan bercerita, merupakan permulaan perjalanan hidup Zamaera sebagai penulis lirik.
“Itu membuat saya bersyukur kerana pernah melewati hal-hal terbaik sedemikian,” katanya yang aktif menyanyi sejak berusia 17 tahun.
TIPAH TERTIPU
Dulu menjadi lebih dekat dengan dirinya apabila Zamaera menyelitkan bait ‘Tipah Tertipu Tertipu Tipu Tertipah’ yang diambil daripada lirik lagu hits milik kumpulan Ruffedge.
“Saya mahu lirik itu ada dalam Dulu kerana ia bergema dalam ingatan menerusi banyak fasa kehidupan peribadi mahupun karier saya,” katanya yang melahirkan EP dengan judul Z pada 2019.
Zamaera yang berasal dari Subang Jaya, Selangor, berkata, Dulu ditulis pada 2020 selepas dirinya berkenalan dengan seorang penerbit berbakat besar, Wolfy, anak kelahiran Malaysia yang menetap di Australia.
Dulu juga divisualkan dalam sebuah jalan cerita menerusi klip video yang sudah dimuat naik dalam YouTube, baru-baru ini.
Klip video itu dihasilkan oleh sahabat zaman persekolahannya, Fitri Ayub.
Lebih membanggakan, Dulu menerima banyak dukungan daripada pelbagai pihak termasuk Limkokwing University of Creative Technology (LUCT) yang menaja lokasi utama penggambaran klip video.
Zamaera turut menggayakan busana daripada pereka terkenal, Syomirizwa Gupta, Alia Bastamam dan Shaleen Cheah menerusi single tersebut.
ARTIS JOE FLIZZOW
Memulakan karier seni secara serius pada 2012, Zamaera kini bernaung di bawah label Kartel milik Joe Flizzow bersama nama besar dunia hip-hop lainnya seperti SonaOne, Altimet, Ila Damia dan DJ Cza.
Selain Dulu yang akan menambah kemas portfolio kariernya sebagai pelaku seni, Zamaera juga sudah terkenal menerusi single lain termasuk Get Munni, Jangan Salah Sangka dan Still Callin.
Karier seninya diiktiraf sehingga ke peringkat antarabangsa sekali gus memberikan dirinya pengalaman menjadi wakil Malaysia yang mengisi pentas Asean-Korean Music Festival Round 2020.