Duda cederakan bekas isteri didenda RM1,000

Duda cederakan bekas isteri didenda RM1,000

TERTUDUH diiring keluar anggota polis selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret, Ayer Keroh, Melaka atas pertuduhan mencederakan bekas isterinya. - UTUSAN/SYAFEEQ AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Gara-gara berebut menghantar anak ke klinik, seorang duda didenda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas mengaku bersalah mencederakan bekas isterinya, tahun lalu.

Majistret Sharda Shienha Mohd. Suleiman menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Syazwan Izzuddin Samsudin, 30, yang membuat pengakuan tersebut sejurus pertuduhan pilihan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh dengan sengaja mendatangkan kecederaan kepada Norfarhana Azlin Azman, 24, yang ketika itu merupakan isterinya dengan cara memukul menggunakan tangan di bahagian kiri muka, lengan, leher dan badan.

Kesalahan itu dilakukan kira-kira pukul 10 malam di kaki lima hadapan pintu masuk Klinik Famili Taman Cempaka dalam daerah Melaka Tengah pada 14 Ogos 2022.

Tertuduh berdepan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, kejadian berpunca akibat salah faham antara tertuduh dengan mangsa kerana berebutkan anak yang ketika itu berusia tujuh bulan.

Difahamkan tertuduh ingin membawa anaknya yang tidak sihat ke klinik, namun dihalang oleh mangsa.

Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Fiqri Hakim Zamri mencadangkan hukuman setimpal dikenakan sebagai pengajaran terhadap tertuduh dan masyarakat. 

Bagaimanapun, peguam Haslinda Abu Bakar merayu hukuman ringan diberikan dengan alasan kesalahan pertama tertuduh selain perlu menanggung anak dan ibunya dengan pendapatan bekerja di sebuah kilang elektronik. 

Setelah mendengar hujah kedua belah pihak, mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM1,000 atau penjara tiga bulan jika gagal bayar. Tertuduh membayar denda tersebut. –  UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya