Dua sahabat karib kecapi kejayaan bersama perolehi 9A SPM - Utusan Malaysia

Dua sahabat karib kecapi kejayaan bersama perolehi 9A SPM

NUR Alia Maisarah Abdullah (dua dari kiri) dan Khairunnisa Che Roslan (dua dari kanan) menunjukkan keputusan cemerlang SPM yang diperolehi kepada guru mereka di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Guar Nangka, Padang Besar, Perlis hari ini.- UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG BESAR: Dua sahabat baik dari kecil yang menempuh susah senang bersama berjaya mengecapi kejayaan bersama apabila memperolehi keputusan 9A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diumumkan hari ini.

Keputusan diraih Khairunnisa Che Roslan, 18, dan Nur Alia Maisarah Abdullah, 18, dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Guar Nangka itu sekali gus turut membanggakan sekolah yang terletak di pinggir bandar itu.

Khairunnisa dan Nur Alia bersahabat sejak dari tadika lagi dan mereka berdua sememangnya mempunyai impian bagi mengubah nasib keluarga melalui pendidikan yang baik.

“Kami telah belajar bersama-sama sejak dahulu lagi dan memang impian kami berhasrat ingin mengubah nasib keluarga dengan belajar bersungguh-sungguh.

“Ibu kami berdua merupakan suri rumah manakala ayah saya pula seorang pemandu lori manakala ayah Alia, penoreh getah,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Tambah Khairunnisa, dia kebiasaan akan mengulang kaji pelajaran di sekolah sehingga pukul 10 malam dengan ditemani guru-guru khususnya menjelang tiga bulan sebelum SPM.

Ujarnya, guru-guru sekolah itu juga tidak henti-henti memberikan sokongan dan nasihat dalam memastikan pelajar-pelajar berjaya meraih keputusan cemerlang dalam SPM.

“Guru-guru sering berpesan agar kami sentiasa melakukan amalan seperti solat tahajud dan hajat agar usaha keras kami sentiasa diberkati,” katanya.

DUA sahabat baik, Nur Alia Maisarah Abdullah (kiri) dan Khairunnisa Che Roslan (kanan) gembira berjaya meraih keputusan SPM 2022 sewaktu ditemui di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Guar Nangka, Padang Besar, Perlis hari ini.- UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN

Nur Alia pula berkata, dia dan Khairunnisa juga mempunyai perancangan untuk menyambung pelajaran ke institut pendidikan guru selepas ini bagi menceburi bidang pendidikan seterusnya menabur bakti kepada anak bangsa.

Katanya, sahabat karibnya itu juga sering membantunya sewaktu mengulang kaji pelajaran dan hubungan mereka berdua seolah-olah seperti adik-beradik.

“Harapan saya agar dapat membalas sumbangan ayah dan ibu yang selama ini banyak berkorban tenaga bagi menyara kami tujuh adik beradik,” katanya.

Dalam pada itu, Pengetua SMK Guar Nangka, Lili Mariam Mohammad@Mokhtar berkata, seramai 53 calon yang menduduki SPM di sekolah berkenaan dengan peratus lulus sebanyak 98.11 peratus.

Katanya, keputusan SPM di peringkat sekolah ini juga antara terbaik dalam tempoh tujuh tahun.

“Dua pelajar yang memperolehi keputusan semua A itu juga menunjukkan usaha yang sangat gigih bagi mencapai kejayaan meskipun hidup dalam serba kekurangan. Pelajar-pelajar mahu berusaha dan akhirnya mengecapi kejayaan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya