KUALA TERENGGANU: Dua pelajar cacat penglihatan dari Terengganu yang cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 baru-baru ini menerima penghargaan daripada Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB), hari ini.
Seorang pelajar istimewa itu, Khairulanwar Zakaria, 19, yang merupakan bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Besar yang memperoleh 5A+ dan 2A menerima sumbangan RM1,000 berupa wakalah zakat daripada YGMB.
Menurutnya, sumbangan tersebut menyuntik semangatnya untuk belajar dengan lebih tekun bagi mencapai cita-cita menjadi guru.
“Terima kasih atas keprihatinan YGMB. Saya bercadang menyimpan sumbangan ini untuk persiapan untuk melanjutkan pelajaran nanti.
“Ia juga menguatkan lagi semangat saya untuk bergelar pendidik suatu hari nanti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis penyampaian sumbangan khas pelajar berkeperluan Khas SPM 2022 dan manfaat khairat kematian di SMK Bukit Besar, di sini, hari ini.
Sumbangan tersebut disampaikan Pengarah Pendidikan Terengganu, Abdul Muie Ngah dan turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif YGMB, Datuk Wan Munadi Wan Mamat.
Seorang lagi pelajar berkeperluan khas penglibatan, Wan Syahirul Wan Yusuf, 19, yang juga dari SMK Bukit Besar berkata, dia yang bercita-cita menjadi guru berbangga dengan sumbangan yang diterima daripada YGMB.
Katanya, walaupun cacat penglihatan namun tidak mematahkan semangatnya belajar dengan bersungguh-sungguh untuk mengejar cita-cita sebagai guru.
“Saya berharu dengan sumbangan yang diterima daripada YGMB boleh digunakan untuk persediaan melanjutkan ke Institut Pendidikan Guru (IPG) Ilmu Khas, Cheras, Kuala Lumpur,” ujarnya.
Dalam pada itu, Abdul Muie berkata, Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu akan membantu Khairulanwar dan Wan Syahirul untuk melanjutkan pelajaran ke IPG.
Utusan Malaysia pada 9 Jun lalu melaporkan Khairulanwar yang hilang penglihatan pada usia 13 tahun dinobatkan antara pelajar cemerlang SPM di Terengganu.
Anak bongsu daripada empat beradik tersebut berhasrat untuk bergelar guru Pendidikan Khas bagi mendidik insan orang kurang upaya lain menyerlahkan potensi masing-masing. – UTUSAN