SEPANG: Dua ahli keluarga Muhammad Hawari Hashim berlepas ke Kathmandu, Nepal malam ini bagi mendapatkan gambaran terkini mengenai misi mencari dan menyelamat pendaki itu.
Mereka adalah adik Muhammad Hawari iaitu Mohamad Ismail, 28, dan abang iparnya, Azhar Ilias, 35, selain, Pengarah Lembaga Muzium Negeri Pulau Pinang (LMNPP), Haryany Mohamad.
Azhar ketika ditemui berkata, dia menemani Mohamad Ismail yang juga seorang OKU pendengaran, bagi menghadiri sidang media khas operasi mencari dan menyelamat (SAR) Muhammad Hawari.
“Kami sekeluarga masih berharap agar Muhammad Hawari selamat dan ditemukan semula. Kami juga reda dengan sebarang perkara yang berlaku di luar dugaan kerana semuanya ketentuan Ilahi.
“Malah, kami juga bersedia menerima sebarang kemungkinan selepas operasi SAR ditamatkan pada Selasa lalu,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), hari ini.
Katanya, sejak kehilangan Muhammad Hawari 19 Mei lalu, mereka sekeluarga mengikuti rapat SAR berkenaan yang dikongsi sekretariat Malaysia Everest 2023 (ME2023).
Jelasnya lagi, kehadiran wakil keluarga pada sidang akhbar di Kathmandu esok bakal merungkai dan merencana langkah seterusnya status SAR berkenaan.
Operasi SAR Muhammad Hawari menggunakan dua dron yang bermula Sabtu lalu ditamatkan sehari lebih awal selepas dron itu berdepan masalah.
Muhammad Hawari dilaporkan hilang sejak 19 Mei lalu selepas keluar meninggalkan Kem Empat pada aras ketinggian 8,000 meter dari aras laut.
Sehari sebelum itu pada pukul 3.30 petang waktu Nepal, Muhammad Hawari dilaporkan berjaya menawan puncak Everest. – UTUSAN