PETALING JAYA: Pelakon, Amir Ahnaf, 21, mengambil pendekatan mengunci mulut selepas dituduh bersikap sombong ketika diminta bergambar dengan beberapa peminat di sebuah program nyanyian.
Pemilik nama penuh Amir Ahnaf Mohd Khairudin itu enggan melanjutkan perbualan ketika dihubungi Utusan Malaysia melalui aplikasi whatsapp.
Namun begitu, Amir sempat meluahkan rasa kecewanya terhadap beberapa berita negatif yang dilaporkan dalam dada akhbar mengenai dirinya.
“Mengapa tajuk cerita begitu? Sebuah persoalan yang selalu ada dalam fikiran saya,” jawapnya pendek.
Dalam sebuah hantaran yang tular dalam Tiktok, seorang peminat meluahkan rasa kecewanya dengan sikap Amir Ahnaf yang didakwa sombong serta tidak mengendahkan permintaan peminat yang ingin bergambar dengannya.
“Kawan saya panggil, dia hanya pandang dengan wajah jengkel dan palingkan muka.
“Dia tidak cakap maaf, atau setidaknya senyum. Kami akan hargai sekiranya dia mohon maaf atau senyum,” dakwa pemilik akaun berkenaan.
Namun begitu, menjengah ke ruangan komen, ada juga yang beranggapan mungkin pelakon Projek : High Council sedang kepenatan dan tidak mempunyai tenaga untuk bertemu peminat selepas program nyanyian berkenaan.