KUALA LUMPUR: “Dia banyak mengajar tentang kehidupan, adab ketika bercakap dan sebagainya”.
Itu antara sebab penyanyi rap terkenal, MK K-Clique, 26, memilih mengahwini usahawan, Siti Hajaar Syeikh Nordin, 26.
Kata MK atau nama sebenarnya Muhammad Hairi Hamdan, Siti Hajaar juga seorang yang selalu memberi nasihat tentang banyak perkara, termasuk hal ehwal dalam dunia hiburan.
“Dia antara yang banyak memberi teguran terutamanya tentang dunia hiburan selain membantu menjaga penampilan saya,” katanya.
Penyanyi lagu Pulang itu sah bergelar suami kepada Siti Hajaar, 26, dengan sekali lafaz tepat pukul 9.30 pagi semalam.
Kedua mempelai disatukan dalam majlis pernikahan serba sederhana di Masjid Jami’il Huda, Kampung Melayu Ampang, Selangor, dekat sini.
Kedua pasangan yang tampil dalam persalinan serba putih dinikahkan dengan berwakil walikan Penolong Pendaftar Nikah Kariah Masjid Jami’il Huda, Mahdi Mat Zin.
Dalam majlis tersebut, MK turut menyerahkan mas kahwin berjumlah RM302 kepada Siti Hajaar dan seutas gelang tangan emas.
Sementara itu, pasangan berkenaan belum memikirkan perancangan untuk berbulan madu bagi membolehkan urusan tertentu diselesaikan terlebih dahulu.
“Buat masa sekarang kami belum membuat sebarang perancangan berbulan madu kerana ada urusan yang perlu saya selesaikan terlebih dahulu.
“Tentang cahaya mata, kami serahkan kepada ketentuan Allah SWT, insya-Allah,” katanya.
Bercakap soal kerjaya, MK memaklumkan akan lebih mengimbangkan antara kerjaya dalam bidang seni dan keluarga selepas mendirikan rumah tangga.
“Keluarga dan kerjaya perlu diseimbangkan. Saya kena tahu adab dan masa yang perlu diluangkan untuk keluarga. Mungkin kerja itu tidak terlalu berlebih-lebihan insya-Allah,” jelasnya. – UTUSAN