KUALA LUMPUR: Laporan penuh kajian penggunaan Body Worn Camera (BWC) bagi anggota penguatkuasaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dijangka disediakan pada suku akhir tahun ini sebelum dihantar pada Kementerian Kewangan (MOT).
Di Dewan Negara, Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah berkata, MOT komited dan sedang meneliti penguatkuasaan BWC demi meningkatkan kualiti perkhidmatan anggota penguatkuasa yang berkaitan.
“Pada masa ini, pihak JPJ berada di fasa pelaksanaan kajian kebolehlaksanaan penggunaannya termasuk melaksanakan siri-siri Proof of Concept (POC) bagi mengkaji pelbagai aspek melibatkan perundangan, pengoperasian, penilaian keupayaan alat BWC dan teknologi yang digunakan, implikasi kewangan serta keberkesanannya bagi meningkatkan integriti ketika melaksanakan aktiviti penguatkuasaan.
“Sehingga kini, terdapat tiga buah syarikat yang menawarkan POC kepada JPJ dan dilaksanakan secara berperingkat.
“POC ini melibatkan pejabat-pejabat JPJ di seluruh ibu negeri dan cawangan terpilih termasuk di Sabah dan Sarawak. POC ini juga dijangka berakhir pada 30 September ini dan laporan penuh akan disediakan serta dihantar ke MOT untuk proses selanjutnya,” katanya hari ini.
Jelas Hasbi, pelaksanaan BWC akan meningkatkan kepercayaan orang awam terhadap anggota JPJ termasuk menamatkan segala spekulasi yang pernah diwujudkan.
“MOT berpandangan bahawa penggunaan BWC bukan sahaja dapat meningkatkan integriti penguatkuasaan JPJ semata-mata, malah berupaya untuk melindungi anggota-anggota penguatkuasa JPJ daripada pelbagai tohmahan atau tuduhan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab,” katanya.
Beliau mengulas perkara itu bagi menjawab Senator Aziz Ariffin yang minta kementerian itu menyatakan bila pihak Kementerian ingin mewajibkan penguat kuasa JPJ menggunakan kamera badan bagi meningkatkan nilai integriti agensi penguatkuasaan tersebut serta melindungi pegawai daripada menjadi mangsa fitnah ketika menjalankan tugas serta berapakah jumlah peruntukan yang diperlukan.