KUALA LUMPUR: Beberapa perkara menjadi isu utama dalam Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023, sekali gus ia tidak dapat diluluskan sewaktu sidang Dewan rakyat baru-baru ini.
Menjelaskan perkara itu, Timbalan Menteri Kesihatan, Lukanisman Awang Sauni berkata, pihaknya mengambil kira pandangan semua pihak termasuk pendapat ahli Parlimen sebelum ini, maka sebab itu ia sekali lagi dibawa kepada Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) Kesihatan untuk diperhalusi.
“Beberapa perkara berkenaan pelaksanaan khidmat masyarakat dan pandangan tentang generasi penamat terhadap vape, di mana kawalan RUU itu pada dasarnya mewujudkan generasi penamat untuk rokok terlebih dahulu dan diteruskan kepada vape.
“Ada pandangan ahli Parlimen merasakan perlunya generasi penamat itu untuk buat serentak. Tetapi Kementerian Kesihatan (KKM) mencadangkan diwujudkan kajian terlebih dulu sebelum pelaksanaan dimulakan pada 2027 akan datang,” katanya di Dewan Negara hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan yang dikemukakan Senator Lim Pay Hen mengenai sebab RUU Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 tidak dapat diluluskan di Dewan Rakyat.
Lukanisman dalam masa yang sama turut memaklumkan kadar peratusan menghisap vape dalam kalangan wanita turut meningkat, sekali gus ia menjadi kebimbangan KKM.
“RUU ini adalah peluang terbaik supaya dapat buat kawalan dan walaupun demikian, kita hormat sesi libat urus yang dijalankan untuk bentang semula dan kit berharap dapat sokongan bipartisan untuk RUU ini,” jelasnya. – UTUSAN