Dekati Najmi Niery dalam Sebentar - Utusan Malaysia

Dekati Najmi Niery dalam Sebentar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANYAK kejayaan sebenarnya lahir daripada sesuatu yang ‘cuba-cuba’. Daripada cuba-cuba menyanyikan lagu saduran di laman sosial, Najmi Niery kemudiannya meraih ratusan ribu tontonan dan mula mengumpul pengikut.

Pulang daripada sebuah festival muzik di Indonesia pada 2022, anak sulung daripada lima beradik ini cuba pula menulis lagu. Tidak mahir bermain apa-apa instrumen, Najmi hanya merakamkan nada menerusi telefon bimbit dan mula menuliskan lirik.

Dari cuba-cuba, Najmi mula serius menghubungi kenalan yang boleh membantunya menyempurnakan lagu itu. Menerusi sahabatnya, Joel Christ, Najmi berkesempatan menyambung perkenalan dan bekerjasama dengan penerbit muzik terkenal Indonesia, Ari Renaldi.

Ari Renaldi merupakan individu penting dalam kalangan penyanyi papan atas Indonesia. Dia merupakan tulang belakang kepada kejayaan penyanyi seperti Yura Yunita, Tulus, Anang, Isyana Sarasvati dan Afgan.

Rezeki memihak kepada Najmi, Ari bersetuju berkolaborasi dan terhasillah sebuah lagu bertajuk ‘Dekati’ pada akhir tahun lalu.

“Ari mempunyai hala tuju pem­bikinan muzik yang sama seperti saya. Kami tidak pernah berjumpa secara bersemuka. Semua perbincangan kami lakukan dalam talian sahaja.

“Ari memberikan respons yang positif terhadap lagu saya. Katanya, lagu saya mempunyai potensi besar.

“Saya faham, Ari sangat sibuk dengan urusan konsert di Indonesia. Namun saya seronok kerana dia tetap bersetuju juga untuk menyempurnakan lagu-lagu saya,” cerita Najmi

Sejak beberapa bulan dilancarkan, lagu Dekati sering menjadi muzik latar video di laman TikTok. Menjelang Julai, lagu yang mence­ritakan tentang luahan hati seorang lelaki ini dijangka meraih 1 juta penstriman di Spotify. Sebuah kejayaan debut membang­gakan untuk seorang artis baru.

“Cerapan demografi pendengar di Spotify menun­jukkan pendengar dari Indonesia lebih banyak berbanding Malaysia pada bulan pertama. Kemudian ia bertukar, pendengar Malaysia lebih banyak. Kini, Dekati kembali lebih banyak didengari oleh pendengar Indonesia.

“Saya ingin menawarkan sebuah lagu dengan kepelbagaian kod muzik khususnya dalam lagu bersifat Balada. Saya banyak merujuk dan terinspirasi daripada llagu pop di Indonesia dan Korea. Pada saya, mereka mempunyai nada dan kord lagu yang kompleks,” tambahnya.

‘Sebentar’ percaturan kedua

Tidak mahu lagunya sekadar ‘panas’ seketika. Najmi meneruskan momentum itu dengan buah tangan terbaharunya bertajuk Sebentar hasil ciptaannya dengan bantuan Ari Renaldi, Jerrico E. Vanditya, Joel Christ dan Kirin Saadon.

Lagu Sebentar mence­ritakan bagaimana seseorang boleh berubah fikiran dan perasaan setelah menjalin hubungan. Sebuah naratif berbeza daripada Dekati sebelum ini.

Bergerak secara indie

Najmi mendedahkan sudah beberapa kali dirisik label tertentu. Namun bagi jejaka asal Kuala Lumpur ini,dia selesa bergerak secara bersendirian.

“Bergerak secara indie sebenarnya sangat sukar terutamanya dari aspek kewangan. Jika mahu dapatkan sponsor, kita mesti memberikan tawaran yang boleh meyakinkan mereka. Selain itu saya pernah berhadapan pengalaman dilayan berat sebelah oleh penganjur konsert yang lebih mengutamakan kebajikan artis lebih terkenal.

“Namun begitu, buat masa ini saya selesa bergerak sendirian kerana walaupun mengambil masa lama untuk laris.

“Bergerak sendirian juga buat saya mempunyai peluang bereksperimen dari segi muzik dan berkolaborasi dengan sesiapa sahaja,” tambahnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya