PETALING JAYA: Datin Seri Salmah Sulaiman, 83, isteri kepada bekas Menteri Besar Selangor kelapan, Datuk Harun Idris meninggal dunia akibat sakit tua di Hospital Ampang Puteri, di sini semalam.
Berita itu dikongsi keluarga Allahyarhamah menerusi pesanan ringkas di WhatsApp malam tadi.
Solat Jenazah akan dilaksanakan pada pukul 10 pagi ini di Masjid Darul Ehsan, Taman Tun Abdul Razak, Ampang.
Jenazah dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Ampang hari ini.
Beliau merupakan pengasas bersama Rumah Bakti Datuk Harun di Hulu Kelang, Selangor yang diasaskan bersama suaminya pada Ogos 1966.
Harun meninggal dunia pada 19 Oktober 2003 di usia 77 tahun.
Allahyarhamah meninggalkan tiga orang anak lelaki dan tiga orang anak perempuan. – UTUSAN