IPOH: Naib Pengerusi DAP Kebangsaan, Nga Kor Ming menyifatkan parti itu sudah pun menjalin kerjasama yang baik dengan UMNO untuk menjaga kestabilan politik negara.
Kor Ming berkata, DAP juga sudah pun melupakan persengketaan dengan UMNO dan mengukuhkan lagi hubungan atas dasar kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan.
“Kita dah ‘move on’ dan sekarang fokus utama kita adalah bagaimana untuk membantu UMNO dan UMNO pula membantu DAP demi kesejahteraan rakyat dan kestabilan politik negara,” katanya kepada pemberita selepas meninjau Pasar Kampung Simee di sini hari ini.
Kor Ming yang juga Pengerusi DAP Perak berkata, parti itu akan membantu UMNO sehabis baik dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri.
“Kita akan membantu UMNO dengan sehabis baik dalam PRN akan datang dan seperti yang dikatakan Presiden UMNO, Datuk Seri Zahid Hamidi di mana kesemua 19 parti yang berada dalam kerajaan Persekutuan akan bersatu hati mempertahankan kerajaan yang ada pada hari ini.
“Saranan saya kepada semua pihak kita perlu berada dalam landasan yang betul mengikut titah Yang di-Pertuan Agong,” katanya.
Beliau ditanya mengena kenyataan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan yang menyifatkan lebih baik sekiranya parti DAP meminta maaf kepada UMNO.
Menurutnya, ini adalah kerana kedua-dua parti tersebut sedang bekerjasama dalam Kerajaan Perpaduan.
Mengulas perkara sama, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, DAP sebagai rakan sekutu dalam Kerajaan Perpaduan tidak perlu memohon maaf kepada UMNO yang didakwa pernah melemparkan pelbagai tohmahan terhadap parti Melayu itu.
Menurutnya, perkara berkenaan telah diselesaikan ketika rundingan penubuhan kerajaan Pusat dan tidak seharusnya dibangkitkan lagi. – UTUSAN