KUALA LUMPUR: Dakwaan mengatakan Kementerian Pendidikan (KPM) menurunkan pemarkahan pelajar dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) hanyalah bersifat spekulatif.
Menolak dakwaan tersebut, Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, KPM tidak pernah menurunkan pemarkahan sehingga menjejaskan pelajar Sekolah Berasrama Penuh (SBP) untuk mengejar silibus pembelajaran.
“Pihak KPM harus berlaku adil dalam konteks pemarkahan dan semakan bagi pemasukan murid-murid ke SBP.
“Pemarkahan yang dibuat mestilah mengikut standard dan merit yang kita telah tetapkan selama ini dan kita cukup jaga standard dalam pemberian markah,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas majlis penutupan Program Pemerkasaan Bahasa Melayu Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Kuala Lumpur dan Selangor di sini hari ini.
Sementara itu dalam perkembangan lain, Fadlina berkata, tahap penguasaan bahasa Melayu di kalangan pelajar SJKC dan SJKT semakin meningkat selaras dengan pengumuman keputusan SPM baru-baru ini.
“Ia dapat dilihat bukan saja dalam program dan aktiviti malah menunjukkan peningkatan berdasarkan keputusan SPM baru-baru ini. Ia menunjukkan prestasi cukup cemerlang dalam penguasaan Bahasa Melayu.
“Pelajar juga menunjukkan peningkatan yang ketara dan harap prestasi ini dapat ditingkatkan dari semasa ke semasa,” katanya.
Oleh demikian Fadhlina berkata, beliau bersetuju dengan cadangan untuk melaksanakan Program Pemerkasaan Bahasa Melayu di SJKC dan SJKT dengan lebih kerap lagi.
“Presiden Majlis Bahasa Cina Malaysia, Datuk Eddie Heng Hong Chai ada mencadangkan supaya kursus seumpama itu dilaksanakan empat bulan sekali dan saya menyokong cadangan berkenaan.
“Bagaimanapun pelaksanaan kursus tersebut haruslah memberi impak positif terutamanya dalam meningkatkan penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan murid-murid SJKT dan SJKC meningkat,” katanya. – UTUSAN