MEKAH – Bekas pelumba motosikal profesional, Wazi Abdul Hamid cemburu melihat ramai anak muda luar negara berebut mengerjakan haji berbanding remaja di Malaysia yang lebih suka berhibur dan membazir duit membeli sport rim serta topi keledar berjenama.
Juara Cub Prix Malaysia pada 1996 itu berkata, sudah tiba masa orang muda menggunakan dahulu duit itu untuk mendaftar haji sebanyak RM1,300 bagi merebut giliran ke tanah suci.
Jururunding keselamatan jalan raya itu memberitahu, jumlah tersebut terlalu sedikit berbanding sport rim dan topi keledar kayangan yang sering menjadi kegilaan mereka ketika ini.
“Saya hairan melihat orang muda lingkungan 20-an luar negara berebut pergi haji dan kenapa mereka tak enjoy (berseronok) dahulu. Rupanya mereka ini mahu menyelesaikan haji pada usia muda dan baki umur itu digunakan untuk melakukan kerja lain.
“Berbanding di Malaysia anak muda lebih suka enjoy dahulu dan haji hanya difikirkan apabila sudah tua. Tak boleh juga nak salahkan mereka kerana kita menganggap haji untuk orang tua dan persediaan untuk mati,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.
Wazi, 52, yang mendakwa pernah menunggang motosikal lumba pada kelajuan 300 km/h berkata, dia bernasib baik apabila hanya terlibat dengan perlumbaan tak diiktiraf selama setahun menggunakan Yamaha RXZ sebelum bergelar pelumba profesional pada usia 19 tahun.
Tambahnya, kesedaran itu timbul apabila dia memikirkan perlu ada haluan dan saluran betul untuk berjaya dalam bidang diminati sebelum mendapat penaja yang membawanya ke litar lumba sebenar.
“Anak muda kita ini mahu berubah tetapi tiada pihak mahu menyedarkan mereka dan menyediakan saluran yang betul. Tabung Haji (TH) boleh meremajakan imejnya dengan melibatkan remaja dalam pelbagai program kerana banyak peluang dan ruang untuk itu,” katanya.
Menurut Wazi, terdapat kelompongan tertentu mengapa remaja ketika ini tidak mengambil berat mengenai haji yang mungkin disebabkan kesibukan ibu bapa mencari nafkah dan masalah ekonomi.
Tambahnya, banyak padang bola sepak untuk remaja sudah tiada dan mereka terpaksa berebut dengan kanak-kanak untuk menggunakannya. Sebab itu mereka melakukan benda lain hingga menyebabkan aktiviti tak sihat berleluasa.
Dalam pada itu, Wazi berkata, dia seronok berpeluang mengerjakan haji dan dalam masa sama menjadi pengiring untuk bapa mentuanya, Mohamed Fikri Sayuti, 80.
Ujar Wazi, walaupun berada jauh, dia masih boleh mengatur gerak kerja untuk pasukannya yang berada di Malaysia menggunakan rangkaian disediakan TH.
“Selepas hadir kursus di Ipoh, Perak, saya tak sangka ibadat haji ini mudah dan seronok. Mulanya saya keliru kerana kena jadi pengiring rupanya ia ibarat pepatah Inggeris killing two birds with one stone,” katanya.
Ujar Wazi, ketika tawaf, bapanya akan memegang tali beg silang di belakangnya dan dia akan berjalan dengan sederhana.
“Sama macam menunggang motosikal, kita akan bertemu dengan situasi tak jangka dan bertembung dengan masa ketika umrah. Elakkan kumpulan besar dan kekal dengan plan sedia ada,” katanya.
Menurut Wazi, dia kini bersedia dan bersemangat untuk membawa bapanya berwukuf di Arafah sebagai ‘pertarungan’ terakhir untuknya sepanjang kembara ke tanah suci bagi mendapatkan haji mabrur. – UTUSAN