IPOH: Tindakannya membuat aduan kepada Jabatan Perhubungan Perusahaan Ipoh di sini hari ini bukan untuk menyaman Perak FC atau sesiapa.
Sebaliknya, bekas pengendali Perak FC, Datuk Lim Teong Kim hanya mahu menuntut haknya selepas dipecat oleh bekas majikannya itu pada 25 Mei lalu.
“Saya bukan hendak saman sesiapa tetapi sekadar menuntut hak saya,” katanya.
Beliau ditemui pemberita ketika hadir bersama peguamnya, Adam Yap di Jabatan Perhubungan Perusahaan Ipoh di Bangunan Persekutuan di sini hari ini.
Teong Kim berkata, beliau mahu meninggalkan Perak FC dengan cara yang baik.
“Saya datang ke Perak FC dengan baik dan nak tinggalkan Perak FC dengan cara yang baik. Tiada niat yang jahat. I am a sportsman, I behave like a sportsman. That’s all.
“Saya fikir ini bukan kerana saya sahaja, saya tiada ego, saya terima banyak pencapaian dalam karier bola sepak, jadi ini adalah (dipecat) sebahagian daripada bola sepak.
“Ia normal. Ada jurulatih yang lakukan baik di Bayern Munich, jurulatih Chelsea pun kena pecat. Jadi ia tiada apa-apa,” katanya.
Sementara itu, Adam berkata, pihaknya mendapati pemecatan Teong Kim sebagai pra-matang kerana dibuat dalam tempoh enam bulan daripada kontrak selama dua tahun.
“Jadi pihak kami mahu menuntut baki bayaran serta apa-apa bayaran untuk selama 16 bulan Itu,” katanya.
Sebagai rekod, Teong Kim juga merupakan bekas Pengarah Projek Program Pembangunan Bola Sepak Negara (2013) dan Pengarah Akademi Mokhtar Dahari (2016) dilantik secara rasmi sebagai pengendali Perak FC dengan kontrak dua tahun pada September 2022. – UTUSAN