Cef Datuk Ismail, Indah Atelier pamer koleksi batik motif rebung

Cef Datuk Ismail, Indah Atelier pamer koleksi batik motif rebung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“Kalau nak pakai batik, pilihlah buatan tempatan sebab batik kita memiliki kelembutan dari segi motifnya berbanding batik luar seperti Indonesia,” demikian kata Cef Datuk Ismail Ahmad.

Menurutnya, di sebalik keindahan motif tumbuh-tumbuhan pada batik tempatan, tersimpan falsafah dan rahsia tersembunyi .

“Pada hari Khamis, ramai ke restoran saya dengan berbaju batik tetapi bukan buatan tempatan. Apabila ditanya mengapa pakai batik luar, ramai yang beri alasan, harganya lebih murah.

“Bukan soal murah atau mahal, tetapi adalah lebih baik kita gayakan batik keluaran Malaysia kerana kita pun ada industri yang mengeluarkan batik mampu beli,” katanya.

Beliau ditemui selepas memeterai kerjasama antara Restoran Rebung dengan pengeluar batik, Indah Atelier baru-baru ini.

Kerjasama itu bertujuan meningkatkan kesedaran generasi muda mengenai keindahan motif pucuk rebung yang sangat sinonim dengan kain batik buatan tempatan.

Ismail berkata, menerusi inisiatif itu, koleksi kain batik bermotif pucuk rebung yang terdiri daripada 24 jenis warna dan fabrik turut dipamerkan dan dijual di Restoran Rebung di Jalan Tanglin, Kuala Lumpur.

“Ini perjuangan saya dalam mempertahankan warisan budaya Malaysia. Saya sudah mengangkat rebung sebagai bahan makanan, malah menamakan restoran saya, Rebung sejak lebih 20 tahun lalu.

“Saya juga sedang mempertimbangkan untuk mempromosikan batik sebagai perhiasan meja makan untuk fine dining tetapi, motifnya mungkin tidak terlalu sarat. Kita beruntung kerana selain pucuk rebung ada pelbagai lagi motif menarik dalam kalangan etnik di Sabah dan Sarawak,” katanya.

Sementara itu, Pengasas dan Ketua Eksekutif Indah Atelier, Noor Balqees Mathumathi Manickavasagar berkata, pemilihan cef selebriti itu tepat kerana aktif mempromosikan keunikan budaya Malaysia.

“Usaha ini juga adalah sebagai penghargaan kepada penggiat seni batik yang berdepan pelbagai cabaran.

“Motif rebung melambangkan ketabahan, kekuatan dan keazaman pembatik tempatan dalam memastikan warisan negara kekal walaupun beberapa tahun mencabar akibat Covid-19 serta banjir dan monsun yang hampir melumpuhkan industri, “katanya.

Tambahnya, bagi tujuan itu, Indah Atelier melancarkan siri pertama motif tradisional iaitu koleksi Rebung 2023 yang mengandungi 24 rekaan unik dan warna.

Katanya, 12 rekaan dicetak pada fabrik satin manakala bakinya menggunakan fabrik kapas satin di samping sehelai kemeja eksklusif rekaan cef selebriti itu.

Ujarnya, warna terang seperti hijau, coklat, merah jambu, merah hati, biru, hitam, putih dan kuning digunakan dalam koleksi itu.

“Orang ramai yang berkunjung ke Restoran Rebung boleh membelinya pada harga RM300 untuk kapas satin manakala RM600 untuk satin.

“Indah Atelier aktif mempromosikan batik sejak 2019 lagi sama ada di peringkat tempatan mahupun luar negara termasuk menyertai pertunjukan fesyen di Kochi, Kerala, India.

“Antara karya yang dihasilkan ialah imej bersejarah negara dari zaman Kesultanan Melaka, penjajahan Portugis dan Belanda sehingga ke era British serta Jepun,” katanya.
Noor Balqees berkata, Indah Atelier turut merintis pelbagai program kesedaran batik dengan institusi pengajian tinggi (IPT) seperti Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Ilmu Khas pada 2019.

Katanya, inisiatif itu bertujuan meningkatkan kesedaran tentang kehalusan seni batik.

Selain itu, jelasnya, sesi kesedaran mengenai produk kraf tersebut turut dijalankan di Commonwealth Youth Movement pada 2019 dengan membabitkan golongan muda dari India. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya