GEORGE TOWN: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) melahirkan rasa kecewa dengan keputusan Kementerian Kesihatan (KKM) merujuk Rang Undang Undang (RUU) Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 ke Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) Kesihatan.
Pegawai Pendidikannya, N.V. Subbarow berkata, keputusan itu seolah-olah menunjukkan RUU berkenaan tidak dianggap penting dan mustahak untuk dibahaskan oleh Ahli Parlimen yang juga pemimpin masyarakat meskipun ia berkait rapat dengan soal kesihatan khususnya dalam kalangan generasi muda.
Malah, Subbarow yang juga aktivis anti merokok berkata, keputusan itu juga seolah-olah memberi gambaran betapa kuatnya syarikat-syarikat berkaitan rokok dan nikotin yang bertindak sebagai pelobi yang bimbang sekiranya RUU terbabit diluluskan dalam masa terdekat.
“CAP berasa hairan mengapa setiap kali RUU berkaitan kawalan rokok ini dijadualkan dibentang dan dibahaskan, ia dengan segera dirujuk kepada JKPK.
“Mengapa RUU berkaitan kawalan rokok ini langsung tidak sempat dibacakan dan diluluskan seperti kebanyakan RUU lain yang diluluskan hanya dalam bacaan pertama?” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Dalam sidang Parlimen hari ini, Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa mencadangkan RUU itu dirujuk ke JKPK Kesihatan mengambil kira maklum balas yang diterima mengenai RUU berkenaan khususnya melalui sesi libat urus yang diadakan pada 6 Mac lalu.
Menurut Dr. Zaliha, pada sesi minggu lalu itu, ahli JKPK Kesihatan selain Ahli Parlimen, badan profesional serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mahu beberapa perkara di bawah RUU terbabit dinilai dan diperincikan dengan lebih lanjut.
Ini merupakan kali kedua RUU yang turut dikenali sebagai RUU Generasi Penamat (GEG) itu dirujuk kepada JKPK Kesihatan selepas pertama kali dibentangkan oleh Menteri Kesihatan sebelum ini, Khairy Jamaluddin tahun lalu.
Sementara itu, Subbarow berkata, keputusan merujuk RUU kawalan rokok tersebut kepada JKPK Kesihatan turut mengecewakan golongan ibu bapa dan guru yang kini berdepan cabaran besar dalam menangani amalan merokok dan pengambilan cecair nikotin dalam kalangan generasi muda.
Jelas beliau, golongan ibu bapa dan guru sebelum ini menaruh harapan yang besar terhadap KKM untuk mengambil langkah wajar dan sihat termasuk memberi keutamaan terhadap RUU terbabit di Parlimen dalam mengekang amalan merokok khususnya dalam kalangan pelajar.
“Para guru pasti menjadi semakin bimbang kerana lebih banyak masalah bakal timbul di sekolah berkaitan isu merokok dan peranti e-rokok (vape) disebabkan pengabaian terhadap RUU ini.
“Ketika ini pun, ramai guru melahirkan rasa kecewa mereka kepada CAP dengan situasi di mana pelajar-pelajar sama ada lelaki atau perempuan bebas membawa peranti e-rokok atau vape ke sekolah tanpa rasa takut,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menggesa KKM meneruskan perbahasan dan meluluskan RUU kawalan rokok tersebut dengan segera pada sidang Parlimen kali ini dan tidak menangguhkannya lagi walau dengan apa-apa alasan sekali pun.
Jelasnya, tindakan itu sangat mendesak dalam menyelamatkan generasi muda khususnya daripada ketagihan rokok dan cecair nikotin selain menjamin kesihatan rakyat secara keseluruhannya.
“Kita tidak mahu pada akhirnya, rakyat melihat keputusan yang diambil kerajaan hari ini telah melahirkan lebih ramai penagih rokok dan cecair nikotin dalam kalangan rakyat,” katanya. – UTUSAN