SUNGAI SIPUT: Calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang sebelum ini gagal dalam ujian percubaan melahirkan rasa syukur kerana dapat ‘menukar’ keputusan itu kepada lulus.
Ia sesuatu yang cukup menggembirakan bagi pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Toh Muda Abdul Aziz, Sungai Siput (U) di sini.
Lebih membanggakan adalah tenaga pengajar di sekolah itu yang memberi tumpuan tidak hanya kepada pelajar cemerlang tetapi 48 pelajar yang gagal.
Hasilnya 42 daripada mereka berjaya mencatat keputusan lulus dan layak memperoleh sijil.
Dalam keputusan peperiksaan SPM 2022 yang diumumkan kelmarin, sekolah itu mencatat peningkatan peratus kelulusan daripada 93.18 peratus tahun lalu kepada 94.34 peratus tahun ini.
Beberapa calon yang berjaya lulus setelah gagal dalam peperiksaan percubaan berkata, mereka bersyukur kerana dapat menukar keputusan berbanding apa yang dicatatkan sebelum ini.
Saidatul Afifah Badaruddin berkata, dia bersyukur kerana berjaya lulus walaupun keputusan ‘cukup makan’ termasuk hanya memperoleh 1A.
Jelasnya, dia tidak lulus dalam percubaan termasuk gagal mata pelajaran Sejarah disebabkan minat bidang sukan dan kurang tumpuan dalam pelajaran.
“Saya terkejut, saya mahu membanggakan ibu bapa.
“Dengan keputusan ini saya mahu menyambung pelajaran ke peringkat seterusnya,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Seorang lagi calon, Muhammad Khirizuran Mohd Khir yang juga mencatat keputusan lulus, berterima kasih kepada guru dan ibu bapa yang memberikan semangat dan dorongan.
“Saya tak lulus peperiksaan percubaan kerana saya tidak dapat fokus pada pelajaran, setelah gagal dalam peperiksaan percubaan, saya berfikir saya harus berusaha untuk mengubah keputusan dan akhirnya saya lulus.
“Selepas ini saya mahu mencuba untuk memohon menjadi anggota tentera untuk meneruskan legasi ibu dan bapa saya yang merupakan bekas tentera,” katanya.
Muhammad Adli Imran Ahmad Waziruddin juga bersyukur dengan keputusan lulus yang diperolehnya dan berhasrat untuk menyambung pelajar di Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) di Kuala Kangsar.
“Saya gagal dalam peperiksaan percubaan kerana susah nak fokus dalam pelajaran dan banyak bermain. Apabila emak dan ayah tahu saya gagal, mereka terus beri sokongan dan saya tidak berputus asa terus berusaha sehinggalah akhirnya berjaya lulus SPM,” katanya. – UTUSAN