Buya Hamka Vol.1 teduh, namun kurang menyentuh

Buya Hamka Vol.1 teduh, namun kurang menyentuh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAYA berumur 21 tahun ketika mula membaca Peribadi, Falsafah Hidup, dan Merantau ke Deli sekali gus membuka indera saya mengenali Prof. Dr. Haji Abdul Malik Karim Amrullah atau Hamka melalui tulisannya yang teduh.

Kebetulan, di tahun itu juga sedang hangat filem Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck, adaptasi daripada karya Buya Hamka yang menguatkan lagi alasan untuk saya dan beberapa kawan terbang ke kampung kelahiran tokoh ulama terkenal itu di Danau Maninjau, Indonesia.

Sebuah tempat yang sangat indah, tenang dan kaya adat seperti yang ditulis Hamka dalam bukunya Kenang-kenangan Hidup.

Secara tidak langsung, nama Buya Hamka dan karyanya terasa dekat dan juga boleh dikatakan memberi kesan peribadi kepada saya.

Oleh itu, saya tidak sabar untuk duduk di kerusi penonton dan mempunyai harapan tinggi kepada penerbit, Falcon Pictures dan Starvision untuk menampilkan sosok penting nusantara itu di dalam naskhah lakon layar.

FILEM PALING MAHAL INDONESIA

Filem Buya Hamka mempunyai sejarah pembikinan yang panjang iaitu selama sembilan tahun dengan kos yang tinggi iaitu AS$3 juta (sekitar RM12 juta) menjadikannya filem paling mahal dihasilkan di Indonesia menumpaskan rekod yang dipegang filem seperti Foxtrot Six, Bumi Manusia, Trilogi Merdeka, dan The Raid 2: Berandal.

Filem Buya Hamka dicerakinkan kepada tiga bahagian. Bagi filem pertama yang sedang ditayangkan di pawagam hari ini memfokuskan Hamka sebagai agamawan yang juga pengurus Muhammadiyah, wartawan yang juga ketua sidang redaksi majalah Pedoman Masyarakat dan seorang suami kepada Siti Raham.

Ketiga-tiga bahagian filem ini digarap sangat tekun oleh Fajar Bustomi dengan mengambil kira solekan, pakaian, dan penampilan sinematografi yang sepadan dengan latar zaman 1933.

Saya menyangka filem ini akan dimulakan sejak Hamka masih kecil seperti cerita biopik lain. Namun Fajar Bustomi memiliki idea lain, dia bermain dengan garis masa membawa Hamka ketika tua dan fasa Hamka aktif bergelar tokoh masyarakat sebagai sajian awal di filem bahagian pertama.

Seperti Hamka dan tulisan-tulisannya, filem ini terasa sangat teduh dan nyaman dengan cara paling sederhana. Mengambil kira pengalaman Fajar Bustomi sebelum ini melahirkan deretan filem romantis, semestinya babak kasih-sayang Hamka lakonan Vino G. Bastian dan isterinya bernama Siti Raham lakonan Laudya Cynthia Bella akan sangat menjadi.

Fajar membawa kita membedah siapa Hamka dari hujung lensa. Membawa kembali kita mengingat bagaimana peribadi yang harus ada dalam diri seorang pemimpin. Jika seseorang itu tahu benar agama, dia akan kehadapan, tidak takut mengambil tanggungjawab sebagai ketua memperjuangkan bangsanya.

Walau tegas di khalayak, namun dia santun kepada isterinya. Hamka tetap memiliki pekerti baik walau tiada sesiapa melihatnya di rumah. Jika membantah, dia akan menolaknya dengan hikmah.

Hamka mengajar kita melihat hidup melalui konteks. Seseorang yang faham agama tidak boleh dipukul sama rata dengan orang yang baru-baru mengenal agama. Kita memerlukan kesabaran untuk menerima perubahan walau harus menelan makian.

KURANG MENYENTUH

Walaupun filem ini menyajikan sebuah pengalaman sinematografi yang baik namun sukar untuk saya menidakkan bahawa filem ini mempunyai kepincangan dalam beberapa bahagian terutama alur ceritanya.

Sepanjang satu jam 40 minit tayangan, terlalu banyak peristiwa tentang Hamka yang ingin disumbatkan ke dalam filem ini. Ada bahagian yang terasa ingin cepat selesai, melompat-lompat sehingga penonton tidak sempat menyelam dan merasai inti sebenar apa yang ingin disampaikan dari kejadian tersebut.

Filem ini semakin kehilangan momentum untuk satu jam pertama, namun memasuki 30 minit sebelum tamat, barulah ada babak yang menangkap dan membuatkan penonton fokus kembali memandang layar.

Walaupun skor muziknya sangat mewah dan berjaya menghidupkan emosi filem ini. Namun, ada ketikanya saya merasakan muziknya terlalu berlebih-lebih. Ada beberapa babak seperti ketika Siti Raham menutup daun pintu di rumah, mungkin hanya memerlukan muzik yang minimum atau dipadamkan sahaja muzik latarnya.

Sesekali saya terfikir, jika garis masa filem ini disusun dari awal iaitu semasa Hamka masih kecil, adakah ia akan memberikan warna dan pandangan berbeza buat penonton?

Ini kerana, sebagai penonton, saya gagal mencari sesuatu dalam filem ini yang benar-benar boleh memancing perhatian dan minat saya untuk menonton bahagian filem ini selanjutnya yang bakal ditayangkan tahun hadapan.

Walaupun filem ini tidak menepati selera dan jangkaan saya, namun saya tetap berpendapat, jika anda benar-benar meminati tokoh nusantara bernama Buya Hamka, filem ini semestinya buat anda.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya