Bunuh teman wanita, pembantu kedai berdepan hukuman mati - Utusan Malaysia

Bunuh teman wanita, pembantu kedai berdepan hukuman mati

SAINI Irwandy Sofian Sani dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ipoh hari ini atas pertuduhan membunuh teman wanitanya, minggu lalu. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Seorang pembantu kedai berdepan hukuman gantung sampai mati apabila dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh teman wanitanya, minggu lalu.

Tertuduh, Saini Irwandy Sofian Sani, 23, mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Jesseca Daimis.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa dengan sengaja melakukan pembunuhan dengan menyebabkan kematian Shahwani Abdullah, 24, di Persiaran Rapat Baru 20, Taman Song Choon antara pukul 5 petang Sabtu hingga 4.54 pagi, Ahad lalu.

Pertuduhan terhadap Saini Irwandy dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, N.M. Moganaraj Mithra manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 30 Ogos depan untuk sebutan semula kes bagi mendapatkan laporan kimia, patologi dan bedah siasat serta lantikan peguam.

Media sebelum ini melaporkan, seorang wanita ditemukan dalam keadaan tidak bernyawa di atas katil di tingkat atas sebuah rumah kedai di Taman Song Choon, Ahad lalu.

Dalam kejadian yang dilaporkan kepada polis pada pukul 4.34 pagi itu, seorang lelaki yang merupakan teman lelaki mangsa ditahan bersama tiga yang lain termasuk ibu suspek bagi membantu siasatan.

Berdasarkan siasatan awal, suspek yang tinggal bersama mangsa dan bayi lelaki berusia lapan bulan, mengaku memukul wanita tersebut menggunakan batang penyapu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya