GEORGE TOWN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang menahan sebuah bot nelayan tempatan kelas C kerana dikendalikan kru serta tekong warga asing tanpa kebenaran yang sah.
Pengarah Maritim Negeri Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd. Razak Mohamed berkata, bot itu ditahan pada kedudukan 35 kilometer barat Pulau Kendi, pukul 2.45 petang semalam.
Katanya, tangkapan berkenaan dilakukan oleh bot peronda Maritim Malaysia sewaktu melaksanakan rutin rondaan penguatkuasaan di sekitar perairan Pulau Kendi.
“Sewaktu pemeriksaan dilakukan, terdapat lima orang kru termasuk seorang tekong warga Thailand dan empat kru warga Myanmar sedang menangkap ikan.
“Pemeriksaan lanjut mendapati kesemua kru asing tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah dan berumur antara 28 hingga 51 tahun,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Jelas beliau, bot berkenaan disyaki melakukan kesalahan dibawah Seksyen 8 (b) Akta Perikanan 1985 kerana telah melanggar syarat sah lesen iaitu menggunakan kru asing tanpa kebenaran dan Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 iaitu tidak memiliki permit atau pass yang sah.
”Kesemua kru, bot, dan hasil tangkapan ikan campur sebanyak 50 kilogram ditahan serta dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin, Batu Uban untuk tindakan lanjut,” katanya. – UTUSAN