BUTTERWORTH: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) merancang membina sebuah balai bomba yang boleh beroperasi di atas permukaan air di sini, dalam usaha menangani risiko setempat yang berkaitan.
Justeru, Ketua Pengarahnya, Datuk Abdul Wahab Mat Yasin berharap Kerajaan Negeri Pulau Pinang dapat mempertimbangkan tapak balai yang bersesuaian khususnya berdekatan Jambatan Pulau Pinang untuk tujuan itu.
“Perancangan ini dilihat bersesuaian dengan faktor geografi negeri serta kes bunuh diri di Jambatan Pulau Pinang yang telah merekodkan sebanyak 75 kes antara tahun 2019 hingga bulan Mei tahun ini,” katanya.
Beliau berucap sempena program Kempen Kesedaran Keselamatan Aktiviti di Air peringkat kebangsaan oleh JBPM di sini hari ini yang dirasmikan Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak.
Sempena kempen itu, beberapa latihan kesedaran aktiviti air turut dijalankan termasuk program Jom Belajar Berenang, Simbol dan Papan Tanda, Asas Menyelamat di Air, Tips Keselamatan di Air dan bantuan pernafasan (CPR).
Mengulas lanjut, Abdul Wahab berkata, pihaknya akan terus melaksanakan beberapa inisiatif dalam usaha memperkasakan fungsi pasukan khas bomba termasuk Pasukan Penyelamat di Air (PPDA).
Ketika ini, katanya, PPDA diiktiraf sebagai antara pasukan elit bomba yang memainkan peranan penting dalam operasi mencari serta menyelamat mangsa di air.
“Setakat ini, JBPM mempunyai seramai 628 anggota bagi PPDA yang ditempatkan di 46 buah balai bomba di seluruh negara.
“Ini juga termasuk usaha memperkasakan fungsi serta peranan Pegawai Bomba Bantuan (PBB) melalui PBB Safety Water and Rescue Team (Swart) bagi pemantauan berterusan terutamanya berkaitan keselamatan aktiviti air ini,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau memberitahu, sebanyak 100 unit set ‘swift water rescue’ untuk kegunaan latihan diperoleh bagi mempersiapkan pasukan ‘Wira Merah’ dengan latihan intensif serta kelengkapan peralatan baharu bertujuan meningkatkan kemahiran serta kesiapsiagaan dari segi logistik terutama untuk kerja-kerja penyelamatan di air.
Selain itu, katanya, JBPM turut menerima enam unit ‘fire boat’ serta 150 unit bot lain beserta aksesori yang akan digunakan untuk penyelamatan komuniti. – UTUSAN