Bomba laksana overhaul kebakaran kontena di Northport - Utusan Malaysia

Bomba laksana overhaul kebakaran kontena di Northport

Kontena terbakar
PASUKAN penyelamat dari sembilan BBP berkejar ke Northport susulan kebakaran 10 kontena terbakar dalam satu kejadian di Pelabuhan Klang, di Klang, Selangor, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Pasukan bomba masih melakukan kerja-kerja pemulihan kebakaran yang melibatkan kemusnahan 13 kontena penyimpan bahan mudah terbakar jenis aerosol yang terbakar dalam satu kejadian dekat Northport, Pelabuhan Klang, pada pagi tadi.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Wan Md. Razali Wan Ismail berkata, api berjaya dikawal pada pukul 11.40 pagi dan dipadamkan sepenuhnya pada pukul 2.20 petang.

“Kerja-kerja overhaul masih dilakukan di lokasi. Fire break berjaya dilakukan melalui kaedah pemadaman dan mengasingkan kontena yang belum terbakar menggunakan stacker dan kren jenis RTG di Bay AA.

“Kebakaran melibatkan 13 unit kontena daripada keseluruhan 333 mengandungi bahan mudah terbakar berkeluasan 10 x 40 kaki persegi dan 20 x 10 kaki persegi. Untuk maklumat lanjut dan pengesahan kejadian, boleh merujuk kepada JBPM Selangor,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu Utusan Malaysia melaporkan, dalam laporan awal JBPM sebanyak 10 kontena musnah dalam kejadian tersebut.

Bomba menerima panggilan pada pukul 10.27 pagi sebelum mengerahkan sepasukan dari sembilan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) ke lokasi untuk memadam kebakaran.

Wan Md. Razali menambah, 41 anggota dan sembilan pegawai dan dibantu 14 buah jentera dalam operasi berkenaan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Northport, Datuk Azman Shah Mohd. Yusof memaklumkan, operasi pelabuhan masih berjalan seperti biasa.

“Tiada kecederaan dan kemalangan dilaporkan akibat daripada insiden tersebut. Pasukan Bomba dan Penyelamat Northport bersama JPBM berjaya mengawal api pada pukul 11.40 pagi,” katanya.

Jelasnya lagi, siasatan terhadap kebakaran itu masih berjalan dan Northport memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa dan pakar untuk memastikan keselamatan ditingkatkan serta langkah pengawasan diambil untuk mengatasi sebarang risiko. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya