BN, PH Terengganu selesai runding agihan 32 kerusi DUN - Utusan Malaysia

BN, PH Terengganu selesai runding agihan 32 kerusi DUN

AHMAD SAID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MARANG: Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) Terengganu sudah selesai berunding mengenai agihan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan ditandingi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Said berkata, proses agihan tersebut melibatkan kesemua 32 kerusi DUN di negeri ini.

Menurutnya, keputusan rundingan tersebut dicapai hasil tiga siri perbincangan antara kedua-dua parti tersebut dalam tempoh lebih sebulan.

Katanya, beliau juga telah menyerahkan keputusan agihan kerusi tersebut kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi untuk dimuktamadkan.

“Bagaimanapun, saya tidak mahu mendedahkan lagi jumlah kerusi yang bakal ditandingi BN dan PH di Terengganu hasil rundingan tersebut. Tunggu Presiden parti yang mengumumkan nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Negeri (PRN) Peringkat UMNO Bahagian Marang di sini, petang ini.

Sementara itu, Ahmad yang juga bekas Menteri Besar Terengganu memberitahu, proses pemilihan calon BN dan PH yang bakal bertanding pula akan dilakukan selepas pembubaran DUN nanti.

Katanya, setakat ini, UMNO Terengganu hanya menyenarai pendek nama bakal calon yang akan bertanding dalam PRN nanti.

“Kebiasaannya pemilihan calon melalui banyak proses dan tapisan daripada pelbagai pihak sebelum keputusan dicapai,” ujarnya.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), BN hanya memperoleh 10 kerusi manakala Pas berjaya memenangi 22 kerusi DUN sekali gus dapat mentadbir kerajaan negeri ini.

Selain Terengganu, terdapat lima negeri lain yang belum mengadakan PRN iaitu Kelantan, Kedah, Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya