BALIK PULAU: Biarpun bertembung dengan musim durian Batu Kurau, Perak dan durian Pahang, buah durian dari Balik Pulau dijangka tetap dicari pengunjung terutama musim cuti sekolah ini.
Seorang penjual durian Balik Pulau, Mohamad Fakhrullah Shahran, 30, berkata, ketika ini, setiap hari kira-kira dua tan buah durian pelbagai jenis termasuk durian kampung dijual di hadapan restoran miliknya iaitu Restoran Tong Kayu, di Bayan Lepas di sini.
“Mungkin jumlah jualan akan naik berganda memandangkan musim cuti sekolah telah bermula dan sekarang buah juga gugur dengan banyak.
“Ketika ini juga buah durian dari negeri-negeri lain seperti durian Batu Kurau, Perak, dan durian Pahang juga mula gugur, namun penggemar durian tetap mencari raja buah Balik Pulau memandangkan rasanya yang berlainan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.
Menurutnya, tahun ini merupakan tahun ke sembilan dia bergelar peniaga buah durian Balik Pulau dan mengambil keputusan untuk meluaskan perniagaan raja buah itu dengan memajak dusun durian di Balik Pulau.
“Sebelum ini saya hanya mengambil buah durian dari pemilik dusun yang lain dalam kuantiti yang sedikit.
‘“Tahun ini saya bersama seorang rakan kongsi dari Langkawi memutuskan untuk memajak lebih 19 hektar dusun durian di Balik Pulau yang mempunyai 500 batang pokok durian pelbagai jenis termasuk buah durian kampung.
‘“Antara buah yang dijual pada musim durian kali ini ialah durian Musang King, durian duri hitam, IOI, kungpo dan lain-lain yang dijual mengikut harga pasaran,” katanya.
Tambahnya, apa yang paling istimewa pada musim kali ini ialah dia menjual buah durian kampung pada harga RM5 sekilogram dan harga itu dikira sebagai berpatutan memandangkan kualiti durian kampung itu adalah antara yang terbaik.
“Saya terpaksa menutup tempahan dengan menggunakan WhatsApp kerana bimbang sekiranya ada pesanan pelanggan yang saya terlepas pandang.
‘’Jadi pelanggan yang mahu mendapatkan durian Balik Pulau dari saya boleh terus datang ke restoran Tong Kayu di Bayan Lepas dan beli terus daripada saya.
“Buah durian Balik Pulau ini turut dapat dinikmati penduduk di Langkawi kerana saya dan rakan kongsi turut membawa buah ini untuk dijual di sana,” katanya. – UTUSAN