PETALING JAYA: Malaysia perlu bersedia dengan ‘bencana’ jerebu yang dijangka mulai bulan ini hingga Oktober kerana Monsun Barat Daya melanda rantau selatan ASEAN sekali gus mengakibatkan gangguan kesihatan dan industri pertanian.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, pakar perubatan kesihatan awam, Datuk Dr. Zainal Ariffin Omar berkata, beberapa tahun lalu, Malaysia dan ASEAN mengalami keadaan jerebu yang teruk berpunca daripada perubahan cuaca dan pembakaran terbuka yang berleluasa.
“Keadaan jerebu yang diramalkan ini dipengaruhi oleh perubahan cuaca panas dan kualiti udara yang tidak baik.
“Rakyat mesti bersedia menghadapinya dengan keadaan aktiviti harian yang tidak selesa, panas akibat jerebu,” katanya.
Justeru kata beliau, orang ramai dinasihatkan menggunakan pelitup muka dan kurangkan aktiviti luar yang mungkin ambil masa yang lama.
Utusan Malaysia melaporkan, pihak berkuasa cuaca dan iklim memberi amaran akan berlakunya jerebu lebih serius di rantau selatan ASEAN antara Jun dan Oktober pada tahun ini.
Amaran itu dibuat ketika musim kemarau diramalkan berlaku lebih teruk dan berpanjangan daripada biasa.
Sementara itu, Pakar Kesihatan Komuniti Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Sharifa Ezat Wan Puteh memberitahu, situasi jerebu ini sememangnya sesuatu di luar kemampuan untuk dikawal kerana ia dibawa oleh angin, tetapi ia tetap perlu diberi perhatian.
“Jerebu tidak baik untuk kesihatan dan boleh menyebabkan gangguan kesihatan kepada manusia dan persekitaran.
“Kita perlu elakkan atau kurangkan sebarang aktiviti luar terutama kepada mereka yang bekerja di luar seperti polis, pemandu lori, penghantar makanan, pemandu e-hailing, pelajar serta petani,” katanya.
Pensyarah Kanan Jabatan Kesihatan Komuniti, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Malina Osman berkata, persekitaran dan manusia akan terkesan terhadap fenomena jerebu yang mungkin berlaku disebabkan bahan tercemar yang dibawa angin dari Sumatera Barat ke Semenanjung.
“Jerebu mampu menjejaskan produktiviti tumbuhan industri pertanian kerana ia mengganggu pencahayaan yang diperlukan tumbuhan.
“Kesan yang akan dialami oleh manusia adalah keadaan kesihatan terutama golongan rentan,” katanya.
Jelas beliau, perkara lain yang dikhuatiri adalah fenomena hujan berasid akibat jerebu yang memberi kesan kepada aspek kesihatan manusia, pertanian, serta ekosistem akuatik. – UTUSAN