PASIR MAS: Seorang jurutera yang hilang upaya akibat kemalangan jalan raya 10 tahun lalu bangkit meneruskan kelangsungan hidup dengan menjual pisau buatan sendiri.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ahmad Faizzon Mamat, 40, berkata, kemalangan itu menyebabkan semua jari kaki kirinya dipotong sekali gus kedudukannya menjadi tidak seimbang sehingga bergantung kepada tongkat.
Menurutnya, susulan itu dia menganggur selama setahun dan membuatkan kantung kewangan semakin menyusut.
“Alhamdulillah rezeki masih bersama saya. Saya terjumpa video di YouTube menunjukkan cara-cara membuat pisau.
“Daripada situ timbul idea mendalami kerja-kerja tersebut dan akhirnya berjaya menghasilkan pisau,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kasar di sini semalam.
Katanya, dia sama sekali tidak menyangka usaha tersebut mengubah hidupnya apabila menjadi pendapatan utama menyara keluarga.
Katanya, menjelang sambutan Aidiladha dia tidak menang tangan menerima tempahan daripada pelanggan.
“Saya menghasilkan pisau jenis moden yang dijual pada harga RM100 hingga RM2,500.
“Untuk sebilah pisau, saya mengambil masa tiga hingga tujuh hari untuk disiapkan bergantung kepada jenis bahan dan corak,” jelasnya.
Ahmad Faizzon berkata, pisau di bawah jenama Melewood turut menerima tempahan dari luar negara seperti Singapura dan Brunei. – UTUSAN